Temui ajal atas pokok kelapa

Temui ajal atas pokok kelapa

bhnews@bh.com.my

PADANG BESAR: Seorang lelaki ditemukan maut di atas pokok kelapa ketika sedang cuba memetik buah di Titi Tinggi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifuddin Aslin Abbas berkata, dalam kejadian jam 5.23 petang di Kampung Baru Batu 18, di sini apabila mangsa berusia 40 tahun itu yang sedang memetik kelapa muda tiba-tiba pengsan di atas pokok berkenaan.

“Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dipanggil untuk membantu membawa turun mangsa menggunakan peralatan khas serta menggunakan tangga untuk menurunkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, mangsa kemudian berjaya diturunkan anggota bomba dan penyelamat sekitar jam 6.30 petang dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Klinik Kesihatan Padang Besar.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat dan disahkan kematiannya adalah disebabkan serangan jantung.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa bekerja mengambil upah memanjat pokok kelapa dan tiada sebarang unsur jenayah dan sebab kematian adalah kerana serangan jantung,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top