am@hmetro.com.my
Tuaran: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai ketenangan dan kesederhanaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam menghadapi ‘hiruk-pikuk’ politik di negeri ini.
Katanya, pendekatan itu penting bagi menjaga kestabilan negeri dan membantu kerajaan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting untuk rakyat dan negeri.
“Saya ucap terima kasih tadi dalam mesyuarat kepada Ketua Menteri kerana beliau sudah dapat bantu, pertama, tenang dan menyederhanakan dalam suasana hiruk-pikuk politik yang tak berkesudahan.
“Ini penting sebab apa kita mahu ialah stabil.. stabil ini bantu kita fokus dalam kerajaan sekarang. Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan kita dalam semua parti bekerjasama memberi sokongan.
“Apabila kita stabil, kita boleh tumpu mengenai transisi tenaga, bagaimana dengan pelan pembangunan, bagaimana dengan AI (kecerdasan buatan) yang sekarang menjadi teknologi baharu yang hebat kencang merombak sistem dunia,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran, di sini, hari ini yang turut dihadiri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Sementara itu, Anwar menegaskan kehadirannya di negeri itu dan pertemuan dengan pemimpin negeri tidak membincangkan soal bersifat peribadi, melainkan perkara yang berkait dengan kepentingan rakyat.
“Saya jumpa Hajiji tadi, bukan cakap adakah tanah beri kepada saya sikit, ada tak balak untuk saya… tiada.
“Sebaliknya kita bincang bagaimana miskin tegar, bagaimana rumah rakyat, bagaimana jalan berlubang, bagaimana bekalan air.
“Itu yang kita cuba lakukan dan saya ucap terima kasih kepada Hajiji dan pasukannya yang bekerja keras. Kita tidak boleh fikir soal peribadi, ini penting kita merubah sikap pimpinan ini,” katanya.
Anwar turut menekankan penyatuan antara pemimpin agar sepakat dalam menyelesaikan satu persatu masalah rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri turut mengikuti taklimat pembangunan negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tuaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




