asmaini@mediaprima.com.my
Dekorasi sesebuah kediaman biasanya mencerminkan gaya hidup atau personaliti pemilik atau penghuninya.
Misalnya jika pemilik seorang yang praktikal, gaya dekorasi kediaman biasanya lebih terarah kepada konsep kontemporari.
Bagi jurugambar, Firdaus Hadzri, 34, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, gabungan elemen Scandinavia dan Bohemiaan (Scandiboho) menjadi pilihan melatari dekorasi kediamannya.
Rumah pangsapuri seluas 650 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air itu mula didiami Firdaus pada tahun 2017.
Katanya, tema itu menjadi pilihan kerana ia mencerminkan keseimbangan antara kesederhanaan dan kreativiti.
Katanya, gaya Scandinavia yang minimalis bukan sahaja memberi suasana tenang malah kelihatan teratur dengan ruang kediaman nampak lebih lapang selain sesuai dengan gaya hidup sendiri.
“Pada masa yang sama, elemen Bohemian membawa unsur personaliti yang bebas melalui tekstur, corak dan kontra.
“Inspirasi untuk memilih tema ini datang daripada keinginan mencipta ruang yang ‘fungsional’ tetapi juga mendamaikan dan santai.
“Saya suka bagaimana elemen-elemen alam semula jadi seperti kayu, rotan dan tanaman hidup dapat membawa rasa segar serta tenang,” katanya.
Jelas Firdaus lagi, ruang yang lapang dan teratur membantu menjadikan ruang kediaman kelihatan lebih luas serta kemas dengan penggunaan perabot sederhana berwarna neutral.
Firdaus berkata, dari segi karakter, elemen bohemian membawa personaliti ke dalam ruang melalui penggunaan tekstur, corak dan warna, menjadikan rumah tampak lebih hidup serta menarik secara visual.
Katanya, dari segi fleksibiliti pula dekorasi gaya itu juga mudah disesuaikan dengan pelbagai ruang dan cita rasa kerana ia memberi kebebasan kepada pemilik untuk mencampurkan elemen minimalis dengan hiasan yang lebih santai.
“Selain itu dekorasi ala Scandiboho juga fungsional tetapi menyerlahkan nilai estetika kerana mengutamakan kegunaan tanpa mengabaikan keindahan.
“Setiap perabot atau hiasan bukan hanya cantik tetapi juga praktikal, menjadikan ruang lebih efisien
“Penggunaan bahan-bahan semula jadi seperti kayu, rotan linen dan tanaman hijau menambahkan lagi unsur semula jadi yang menenangkan serta menyejukkan mata,” katanya.
Menurut Firdaus lagi, fokus utama gaya dekorasi itu adalah untuk mencipta keseimbangan antara kesederhanaan dan sentuhan peribadi.
Kata beliau, secara peribadi dia memilih elemen Scandinavia kerana menggemari ruang yang bersih, ringkas dan praktikal.
“Pada masa yang sama, elemen Bohemian memberi peluang untuk menambah warna, tekstur dan corak yang lebih kreatif dan mencerminkan personaliti saya.
“Gabungan ini menjadikan kediaman ini bukan sahaja selesa dan minimalis malah tetap mempunyai karakter yang unik,” katanya.
Dalam pada itu, tema Scandiboho itu bukan asing lagi bagi peminat dekorasi di negara ini namun tidak ramai pemilik rumah yang kreatif menggunakannya.
Kata Firdaus, konsep gaya dekorasi Scandiboho biasanya tertumpu kepada ruang tamu, dapur dan bilik tidur utama.
Untuk ruang tamu, perabot minimalis dan warna-warna neutral menjadi pilihan Firdaus, selaras dengan elemen Scandinavia.
“Bagi menyerlahkan elemen Bohemian, saya menggunakan kerusi rotan bersama kusyen bertekstur dan selimut berwarna lembut.
“Saya juga menggunakan tumbuhan hiasan sebagai elemen semula jadi yang memberi rasa segar dan santai,” katanya.
Untuk ruang makan pula, selain meja kayu dan lampu gantung rotan, Firdaus juga menambah cermin besar bagi menyerikan dinding rumahnya.
Kata Firdaus, cermin itu bukan sahaja berfungsi untuk memberikan ilusi ruang yang lebih luas, tetapi juga menangkap cahaya semula jadi.
Sekali gus menjadikan suasana ruang makan kelihatan lebih terang dan segar.
“Ia juga menjadi elemen dekorasi yang elegan, menambah sentuhan Scandinavia dengan bingkai minimalis, selain memperkuatkan lagi konsep Scandiboho yang diketengahkan,'” katanya.
Sementara itu, Firdaus turut memastikan elemen Scandinavia mendominasi dengan rekaan yang praktikal dan kemas di ruang dapur kediamannya.
Justeru, Firdaus memilih rekaan kabinet berwarna putih dengan permukaan kayu untuk memberikan kontra yang semula jadi.
Katanya, dia kurang menggunakan elemen Bohemian di ruang dapur, tetapi masih mengekalkan gaya minimalis yang bersih untuk memudahkan pergerakan.
“Dari segi penggunaan warna pula, rona putih, hijau, coklat dan kelabu menjadi pilihan kerana ia mudah disesuaikan dengan pemilihan perabot yang kebanyakannya daripada rotan dan kayu pine.
“Secara keseluruhan, kediaman ini sudah banyak memenuhi impian dekorasi yang diidamkan.
“Masakan tidak, setiap sudut rumah terasa lebih bermakna, bukan hanya dari segi nilai estetika, tetapi juga dari segi fungsional dan keselesaan seharian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
