Tenang terima alami keguguran, Fasha, Aidil belum ada rezeki anak kedua

Tenang terima alami keguguran, Fasha, Aidil belum ada rezeki anak kedua

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon popular Fasha Sandha, 42, dan suaminya, Aidil Aziz, 38, menerima dengan tenang apabila dimaklumkan doktor bahawa aktres itu mengalami keguguran.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia dan suaminya menerima hakikat mereka belum ada rezeki untuk dikurniakan cahaya mata kedua lagi.

“Kami tidak berasa ‘stress’ (tekanan) dengan berita mengenai keguguran ini sebab minggu sebelumnya, bila saya buat pemeriksaan, bayi dalam kandungan sihat dan dan ada ‘heart beat’ (degupan jantung).

“Pada minggu seterusnya bila buat pemeriksaan lagi, bayi sudah tiada ‘heart beat’ dan doktor beritahu bayi itu tidak sihat.

“Jadi kami terima perkara itu dengan hati yang terbuka sebab yakin pasti ada hikmah dan bukan rezeki lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi prosedur dijalankan, kata pelakon drama Doa Yang Terlindung, dia hanya dimasukkan ke wad rawatan harian sahaja untuk menjalani prosedur mencuci rahim.

“Saya masuk wad pada waktu tengah hari selepas selesai kerja membabitkan komitmen ‘live’ untuk Zaitun bersama Datin Atikah Suhaime dan sudah dibenarkan pulang ke rumah pada sebelah malamnya.

“Prosedur cuci rahim dijalankan selama setengah jam saja, tapi perlu menunggu sehingga sedar dalam tempoh satu jam. Prosedur itu mudah dan tidak menyakitkan.

“Pada masa sama, suami setia menemani sepanjang prosedur dan kebetulan dia habis ‘shooting’ (penggambaran) awal dan berada di sisi saya sampai keesokkan hari,” katanya.

Kata Fasha, jika diikutkan dia pernah melalui prosedur mencuci rahim pada 2019, sebelum mengandungkan anaknya Aisha Amira.

“Memandangkan saya pernah lalui prosedur sama sebelum ini, sebab itu saya tidak berasa tekanan dan ‘down’ kerana anggap tidak ada rezeki dapat anak lagi.

“Sebab ramai juga wanita di luar sana yang mengalami keguguran pada awal kandungan,” katanya.

Ditanya keadaan kesihatannya sekarang, kata Fasha, dia kini berehat di rumah dan masih mempertimbangkan beberapa tawaran berlakon.

“Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan sihat dan kesihatan semakin baik.

“Saya tidaklah berpantang sangat dan boleh makan macam biasa sebab sebelum itu saya sudah diet dan hanya kurangkan makan nasi,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran Instsgram (IG), Fasha berkongsi dirinya keguguran pada usia janin 10 minggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top