Tenggiling: Konflik koronavirus dan konservasi spesies

Nur Hannan Amelin Azizan Dan Prof. Madya Dr. Hasmahzaiti Omar

Kuala Lumpur: Menurut statistik, tenggiling (Manis sp.) telah direkodkan sebagai mamalia yang paling banyak diseludup, membentuk 20% daripada seluruh penyeludupan haiwan liar. Dari tahun 2015 hingga 2021 sahaja, lebih daripada 330 ton tenggiling telah dirampas dalam cubaan penyeludupan di seluruh Asia. Kesannya jelas dilihat pada status tenggiling dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN iaitu “sangat terancam”. Kajian juga mendapati bahawa nilai tenggiling di pasaran pada 2022 telah mencapai harga sekitar USD600 per kilogram dibandingkan dengan US$14 per kilogram pada 1990. Persoalannya, mengapakah haiwan ini begitu bernilai dan mengapa ia mendapat permintaan yang sangat tinggi dalam pasaran gelap?

Jawapan kepada soalan tersebut kemungkinan besar terletak pada uniknya rupa tenggiling sendiri. Tenggiling merupakan satu-satunya mamalia yang mempunyai sisik seakan-akan makhluk mitos naga. Ia juga dikatakan menyerupai telur naga apabila menggulingkan diri menjadi bulat.

Dengan rupa sebegitu, sesetengah manusia secara tanpa sedar mengaitkan spesies ini dengan keajaiban. Oleh sebab itu, kebanyakan permintaan tenggiling adalah bagi tujuan perubatan tradisional. Selama beribu tahun lamanya, masyarakat cina mempercayai bahawa sisik tenggiling mampu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti masalah kulit, artritis, malahan kanser. Setakat ini, belum ada kajian yang mampu membuktikan tuntutan sifat penyembuhan sisik tenggiling tersebut. Sebaliknya, beberapa kajian telah berjaya mematahkan kepercayaan tidak berasas ini. Salah satunya yang diketuai oleh Jin Xinyao (2020) yang menyimpulkan squama manitis atau sisik tenggiling tidak mempunyai sebarang nilai perubatan, dan penyingkiran bahan tersebut daripada senarai daftar ubat-ubatan adalah wajar.

Selain digunakan dalam perubatan, daging tenggiling juga mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat China dan Vietnam sebagai makanan mewah. Kulitnya pula diproses untuk dijadikan beg, kasut dan tali pinggang.

Pada pertengahan wabak COVID-19, tenggiling sekali lagi menjadi topik yang hangat diperkatakan namun untuk sebab yang berlainan. Haiwan tersebut telah didakwa mampu membawa dan merebak coronavirus yang serupa dengan SARS-CoV-2 yang bertanggungjawab mencetuskan wabak COVID-19. Tercetusnya idea bahawa tenggiling membawa virus COVID-19 bermula daripada sidang media Universiti Pertanian China Selatan di Guangzhou pada 7 Februari 2020. Saintis Yongyi Shen dan Lihua Xiao telah membandingkan virus yang dijumpai dalam tenggiling dengan virus daripada pesakit yang dijangkiti COVID-19, dengan dapatan bahawa genetik kedua-duanya didapati hampir serupa. Dapatan ini disokong oleh Kristian Andersen, ahli imunologi dan biologi pengiraan di Scripps Research, La Jolla, California. Andersen telah mengkaji informasi genetik virus daripada tenggiling dan mendapati ianya mempunyai peratusan persamaan yang signifikan dengan informasi genetik nCoV-2019.

Konsensus umum yang dipersetujui dalam kalangan pakar ialah coronavirus yang mencetuskan wabak COVID-19 memang berasal daripada kelawar. Namun, coronavirus kelawar didapati tidak mempunyai domain pengikat reseptor (RBD) yang membolehkan mereka untuk bersepadan dengan protein genetik manusia. Sebaliknya, satu kajian yang diketuai Lam Tsan Yuk (2020) menunjukkan bahawa coronavirus yang diekstrak daripada tenggiling pula yang mempunyai domain pengikat tersebut. Maka, sesetengah pakar menyimpulkan bahawa virus tersebut yang asalnya daripada kelawar berpindah ke tenggiling dan menjalani adaptasi protein sehingga mampu untuk menjangkiti manusia.

Walaupun belum ada fakta yang konklusif tentang penglibatan tenggiling dalam penyebaran COVID-19, kerajaan China telah mengumumkan sekatan terhadap penyeludupan dan penggunaan tenggiling dan haiwan liar lain. Pihak berkuasa juga telah menjalankan penutupan besar-besaran buat pasar basah yang menjual haiwan liar di seluruh negara tersebut. Sebenarnya, tindakan yang sama telah pun diambil pada tahun 2016 di mana perdagangan antarabangsa tenggiling telah diharamkan sepenuhnya oleh 183 negara yang menandatangani Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam. Namun, melalui pemerhatian Xu Ling-pengarah pemantauan penyeludupan haiwan liar China-tindakan ini tidak menampakkan sebarang perubahan pada bilangan tenggiling yang diseludup. Penyeludupan masih berlaku dengan aktif, bezanya cuma majoriti jumpaan berbentuk sisik dan bukan lagi dalam bentuk daging dan keseluruhan tenggiling seperti sebelum larangan dahulu. Jelas sekali, tindakan daripada pihak berkuasa tidak bermakna jika permintaan pengguna masih berterusan.

Walaupun banyak usaha dan kajian yang dijalankan terhadap kaitan tenggiling dan COVID-19, masih ada beberapa persoalan yang belum terjawab. Adakah betul tenggiling pembawa coronavirus COVID-19? Jika ianya betul, bagaimanakah penerimaan pengguna dan adakah penggunaan tenggiling akan berhenti? Lebih penting sekali, bolehkah wabak COVID-19 menjadi penyokong kepada usaha pemeliharaan spesies tenggiling daripada kepupusan?

Pendek kata, banyak lagi kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan demi mendapatkan pencerahan terhadap kaitan antara tenggiling, wabak COVID-19 dan kesannya terhadap kemandirian tenggiling. Walaupun wabak COVID-19 merupakan satu musibah buat seluruh kaum manusia, diharapkan kaitan wabak tersebut dengan status tenggiling yang terancam akan sedikit sebanyak menjadi hikmah dan membantu ke arah usaha konservasi tenggiling.

 

Oleh:
Nur Hannan Amelin Azizan Dan Prof. Madya Dr. Hasmahzaiti Omar

Nur Hannan Amelin Azizan merupakan Pelajar Program Ekologi Biodiversiti,
manakala Dr. Hasmahzaiti Omar ialah Profesor Madya di Insititut Sains Biologi,
Universiti Malaya.
Email: zaiti_1978@um.edu.my

 

Scroll to Top