am@hmetro.com.my
Kuantan: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan Latihan Penerjunan Bebas pada ketinggian 10,000 kaki (kira-kira 3,048 meter) di Besut, Terengganu, semalam.
Menerusi hantaran Facebook rasmi Kesultanan Pahang, lebih bermakna, terjunan yang memperlihatkan keberanian serta semangat tinggi Tengku Hassanal disaksikan sendiri ayahanda, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah.
“Kejayaan itu dicatat menerusi Selective Training Record (STR) Latihan Kursus Pasukan Khas Udara (PASKAU) di Pangkalan Udara Gong Kedak.
“Baginda melakukan dua kali terjunan iaitu pada 2.30 petang dan 4.15 petang.
“Baginda dilihat cukup berbangga dengan pencapaian itu yang bukan sahaja mencabar diri tetapi memerlukan disiplin, kawalan mental dan ketahanan fizikal,” menerusi hantaran itu.
Pada masa sama, ia sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda berani mencuba perkara baharu serta menanam nilai keberanian dan ketabahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




