Tentera Israel bunuh 3 rakyat Palestin di Tebing Barat

Tentera Israel bunuh 3 rakyat Palestin di Tebing Barat

NABLUS: Tiga lelaki warga Palestin dibunuh tentera Israel di bandar Nablus di Tebing Barat dalam operasi bagi menentang sel pengganas oleh rejim Zionis itu.

Jumlah korban itu disahkan Kementerian Kesihatan Palestin dan polis sempadan Israel.

Menurut polis sempadan, mereka yang terkorban ialah pejuang bersenjata yang terbunuh semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Katanya, ketiga-tiga mereka didakwa bertanggungjawab atas serangan tembakan ke atas tentera Israel dan orang awam baru-baru ini.

Tambahnya, tiada rakyat Israel yang tercedera dalam operasi itu.

Sumber dalam pergerakan Fatah di bawah Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengenal pasti dua daripada yang maut sebagai Adham Mabrouk dan Muhammad Al-Dakhil.

Difahamkan, kedua-dua mereka mempunyai kaitan dengan militan Briged Syahid Al-Aqsa.

Menurut sumber keselamatan Palestin, tentera Israel yang berada di dalam kenderaan awam memintas kenderaan milik warga Palestin itu dan terus menembak ke arahnya, menyebabkan kematian tiga mangsa.

Terdapat rakaman video menunjukkan kenderaan yang dipenuhi kesan peluru itu dalam kes tembakan di siang hari itu.

Ratusan warga Palestin memenuhi jalanan di luar Hospital Rafidia di Nablus ketika mayat ketiga-tiga mereka dibawa keluar.

Bandar Nablus terletak di utara Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki Israel sejak Perang Enam Hari pada 1967 dan adalah lokasi di mana pergolakan kerap berlaku.

Hampir setengah juta rakyat Israel tinggal di penempatan di wilayah itu bersama kira-kira tiga juta rakyat Palestin. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top