'Terasa seperti arwah Nurly masih ada'

'Terasa seperti arwah Nurly masih ada'

am@hmetro.com.my

Besut: “Walaupun lebih 100 hari Allahyarham Nurly Sahirah meninggal dunia, namun saya tetap terasa seperti arwah masih ada,” kata bapa arwah, Azman Mohamad, 63.

Azman berkata, sikap cakna serta mengambil berat pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sering bertanya khabar serta mengunjungi keluarga mereka membuatkan seolah-olah arwah Nurly masih belajar di sana kerana sebelum ini masanya banyak di universiti.

“Namun sesekali teringat rutin harian saya menjemput arwah di Bandar Jertih sekiranya Allahyarham pulang menaiki bas dari universiti ke kampung, tetapi semua itu kini hanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dia dan isteri, Kamariah Abdul Latif, 60, akan menaiki pentas untuk menerima ijazah anumerta bagi mewakili pihak anak mereka.

Difahamkan, Nurly Sahirah Azman antara dua pelajar yang terbabit dengan tragedi bas akan menerima ijazah anumerta bersama Allahyarham Fatin Nasrien Fadli pada 11 November depan pada Majlis Istiadat Konvokesyen universiti yang akan diadakan nanti.

Allahyarham Nurly Sahirah serta Fatin Nasrien antara 15 mangsa yang terkorban dalam nahas bas membawa penuntut universiti itu di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.

“Kami bercadang untuk bertolak lebih awal ke UPSI untuk menghadiri istiadat berkenaan bagi ‘meraikan’ kejayaan Nurly walaupun arwah sudah tiada.

“Peluang menjejakkan kaki semula ke UPSI akan kami guna sebaiknya untuk melawat tempat belajar arwah Nurly sepanjang menuntut di sana,” katanya.

Katanya, sehingga kini rumah mereka sentiasa dikunjungi tetamu yang mahu melihat naskhah mushaf al-Quran tulisan tangan arwah Nurly.

Sementara itu, ibu arwah Nurly, Kamariah berkata, sebelum ini dia dan suami yang meminta arwah untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.

“Namun Allahyarham sendiri menentukan jurusan apa yang dia inginkan dan arwah memilih melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Khas.

“Biarpun arwah tidak sempat menunaikan impiannya untuk menjadi seorang pendidik, namun saya sebagai ibu berasa bangga dapat melihat hasil usahanya sepanjang menjadi mahasiswa bidang pendidikan,” katanya.

Katanya, walaupun arwah tidak sempat bergelar pendidik, namun Allah mengangkat dia seperti seorang guru untuk seluruh dunia dengan amalan arwah memuliakan al-Quran.

“Saya bersyukur apabila ramai mendapat inspirasi daripada kisah arwah untuk kembali belajar serta mendekatkan diri dengan al-Quran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top