GANDINGAN baharu beregu wanita Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti menjulang kejuaraan pertama mereka di Terbuka Malaysia 2022 di sini, pada Ahad meskipun baru sebulan membuat penampilan sulung.
Ini adalah kejohanan terbuka ketiga mereka selepas kali pertama digandingkan pada Indonesia Masters bulan lepas.
Apriyani-Siti Fadia mengakhiri prestasi cemerlang mereka untuk dimahkotakan sebagai juara selepas menundukkan Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China menerusi set penentuan di Arena Axiata.
Gandingan nombor 133 dunia itu menang set pertama 21-18, namun gagal mengekalkan permulaan cemerlang mereka sekali gus membolehkan Shu Xian-Yu bangkit untuk menang 12-21.
Ketika ketinggalan tiga mata 4-7 pada set penentuan, pasangan Indonesia itu berjaya merubah kedudukan untuk mendahului pada mata 13-12 seterusnya mengekalkan rentak permainan bagi meraih mata kemenangan 21-19. – Bernama
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang




