PETROS mula keluarkan minyak pertama, 800 tong sehari di Marudi

PETROS mula keluarkan minyak pertama, 800 tong sehari di Marudi

mdroji@bh.com.my

Kuching: Petroliam Nasional Sarawak Berhad (PETROS) mencipta sejarah apabila memulakan pengeluaran minyak pertamanya sebanyak 800 tong sehari di sebuah telaga berhampiran Marudi pada awal minggu ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ia sekali gus menjadi pencapaian penting dalam usaha Sarawak memperkukuh penguasaan terhadap industri minyak dan gas negeri.

Beliau berkata, pengeluaran sulung itu adalah hadiah istimewa kepada rakyat Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak tahun ini.

Selain itu, katanya, ia membuktikan kemampuan anak negeri meneroka dan mengurus sendiri sumber kekayaan Sarawak.

“Saya ingin mengumumkan sebagai hadiah kepada rakyat Sarawak bahawa PETROS, syarikat minyak dan gas milik kita sendiri.

“Awal minggu ini memulakan pengeluaran minyak pertama sebanyak 800 tong sehari di sebuah telaga berhampiran Marudi,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Hari Sarawak yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Dataran Tun Tuanku Bujang, di Sibu, malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Abang Johari berkata, pengeluaran bersejarah itu bersamaan kira-kira 24,000 tong sebulan dan menjadi detik penting selepas lebih 50 tahun sejak pengeluaran minyak terakhir di daratan Sarawak.

Katanya, perkembangan itu meletakkan Sarawak di landasan tepat untuk memperluaskan industri hiliran berasaskan petroleum, khususnya dalam pengeluaran ammonia dan hidrogen biru yang menjadi antara pemacu baharu ekonomi negeri.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan turut membuktikan keupayaan kejuruteraan serta kepakaran teknikal dimiliki rakyat Sarawak.

Ia sekali gus menunjukkan negeri itu mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas.

“Ini adalah hadiah yang amat besar kepada Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak tahun ini.

“PETROS turut memaklumkan ini adalah baharu satu telaga dan masih terdapat beberapa telaga lain yang akan dibangunkan.

“Ini bermakna Sarawak akan memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas negara,” katanya.

Abang Johari berkata, antara perubahan terbesar yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ialah mengubah pendekatan terhadap pengurusan sumber asli supaya kekayaan negeri tidak lagi dieksport dalam bentuk mentah seperti amalan sebelum ini.

Katanya, pada masa lalu, sumber asli hanya dijual sebagai bahan mentah menyebabkan nilai tambah, peluang pekerjaan serta pembangunan teknologi lebih banyak dinikmati di luar Sarawak.

“Sebaliknya hari ini kita mahu setiap sumber yang dimiliki Sarawak diproses, dibangunkan dan diberikan nilai tambah di negeri ini supaya kekayaan itu mewujudkan lebih banyak industri, pekerjaan berkemahiran tinggi serta peluang perniagaan kepada rakyat.

“Ini adalah falsafah ekonomi yang menjadi asas kepada dasar pembangunan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ia bukan lagi sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya sudah mula diterjemahkan kepada kejayaan sebenar apabila anak Sarawak sendiri terbabit secara langsung dalam meneroka serta mengurus sumber kekayaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan PETROS memulakan pengeluaran minyak itu menjadi bukti dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri mula membuahkan hasil dan membuka lembaran baharu kepada industri tenaga Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata pembangunan Sarawak hari ini bukan hanya berkaitan kemajuan negeri, sebaliknya turut menentukan masa depan Malaysia ketika dunia sedang berdepan perubahan ekonomi yang dipacu teknologi baharu, tenaga bersih, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital serta industri bernilai tinggi.

Beliau berkata, Sarawak memilih untuk menjadi peneraju dalam perubahan itu melalui strategi pembangunan yang mampu menjadikan negeri ini sebagai pintu masuk Malaysia kepada ekonomi hijau, hab tenaga bersih dan pusat industri bernilai tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top