Terima rasuah bulanan daripada pengusaha restoran, pegawai imigresen hadapi 7 pertuduhan

Terima rasuah bulanan daripada pengusaha restoran, pegawai imigresen hadapi 7 pertuduhan

am@hmetro.com.my

Melaka: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima rasuah secara bulanan daripada pengusaha restoran berjumlah keseluruhan RM1,950 bagi melindungi pekerja asing tanpa permit, antara Januari hingga Julai tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazrul Md Yasin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh menerima suatu suapan wang tunai berjumlah antara RM300 hingga RM150 daripada seorang lelaki pengusaha restoran berusia 69 tahun.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang wanita 23, yang juga anak warga emas itu selaku pemilik restoran kerana melindungi pekerja warga asing Indonesia, Kusmiyati

yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di dalam premis yang menjadi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1957/63.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Nurul Jalan Muar, Merlimau, Jasin pada tarikh dan masa berbeza antara 1 Januari 2025 hingga 10 Julai 2025, kira-kira jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari menghujahkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat dan tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan minimum diberikan atas alasan hanya menyediakan wang jaminan RM5,000, hasil wang yang dipinjam dan kini sudah digantung kerja.

Katanya, dia penanggung tunggal keluarga dan perlu menjaga ibu serta empat orang anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat-syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos depan untuk lantikan peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top