am@hmetro.com.my
Ipoh: Pembabitan wanita khususnya dalam bidang perubatan semakin menyerlah dan diiktiraf apabila mereka bukan sahaja berperanan merawat pesakit, malah turut menjadi tonggak asas dalam kekuatan sistem kesihatan negara.
Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Perak Dr Monesh Pillai berkata, wanita dalam bidang itu sudah membuktikan bahawa mereka mampu memimpin dengan cemerlang serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.
“Hari ini kita menyaksikan semakin ramai wanita menjadi pakar perunding, pensyarah universiti, penyelidik, pengarah hospital, pentadbir kesihatan dan pemimpin organisasi profesional.
“Mereka bukan sahaja merawat pesakit, malah membentuk dasar kesihatan, melatih generasi doktor masa hadapan serta menerajui penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.” katanya ketika berucap di majlis perasmian Simposium Women in Medicine (WIM) 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, Jawatankuasa Eksekutif MMA Perak Sesi 2026-2027 mencatat sejarah apabila buat pertama kali dianggotai bilangan doktor wanita paling ramai, berdasarkan merit, pengalaman dan komitmen mereka terhadap profesion perubatan.
Beliau juga optimis penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan MMA Perak mampu memperkukuh organisasi itu supaya lebih dinamik, inklusif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran sektor perubatan.
“Apabila wanita diberi peluang untuk memimpin, seluruh masyarakat akan menerima manfaatnya.
“Kepimpinan wanita membawa perspektif yang lebih menyeluruh, nilai empati yang tinggi serta pendekatan yang lebih berpusatkan insan dan nilai-nilai yang amat penting dalam profesion perubatan.
“Apa yang lebih membanggakan ialah ramai daripada mereka melaksanakan semua tanggungjawab ini sambil mengimbangi peranan sebagai ibu, anak, isteri dan penjaga keluarga.” katanya.
Majlis perasmian Simposium Women in Medicine (WIM) 2026 itu disempurnakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, di sini, hari ini.
Penganjuran kali kelima simposium itu merupakan program tumpuan utama MMA Perak yang menghimpunkan doktor, pengamal kesihatan, ahli akademik, pembuat dasar serta pelajar perubatan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kesihatan wanita, di samping meraikan peranan dan kepimpinan wanita dalam profesion perubatan.
Simposium tahun ini dibarisi penceramah dari pelbagai institusi kesihatan dan akademik negara yang mengetengahkan topik berkaitan keselamatan penggunaan ubat dalam kalangan wanita, odontologi forensik dalam penyiasatan kes penderaan seksual dan keganasan rumah tangga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




