am@hmetro.com.my
Jitra: Nuur Aishah Hasanah Jamaludin, 18, sebelum ini menyimpan hasrat melanjutkan pengajian ke universiti namun terpaksa dilupakan selepas dia disahkan menghidap kanser darah, lima bulan lalu.
Dia kini terpaksa memberi tumpuan untuk menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
Ibunya, Marzini Abdullah, 45, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan menghidap kanser selepas mengalami bengkak tonsil hingga sukar untuk makan.
Katanya, dia membawa anaknya itu menjalani pemeriksaan di sebuah klinik swasta di Jitra dan doktor memberinya ubat untuk mengecutkan bengkak.
“Namun sakit yang dialami Nuur Aishah tidak lega malah bertambah sakit menyebabkan doktor mencadangkan supaya dia melakukan ujian darah.
“Hasil ujian mendapati darah putih anak saya terlalu tinggi dan perlu menjalani pemeriksaan susulan segera di HSB,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Korok, di sini hari ini.
Marzini berkata, doktor di HSB mengesahkan anaknya menghidap kanser darah dan perlu menjalani rawatan kemoterapi selama empat pusingan.
Katanya, doktor memberitahu anaknya perlu melakukan proses pemindahan sum-sum tulang dengan segera dan hasil ujian yang dijalankan mendapati abangnya, Muhamad Khairul Shahmi Jamaludin, 25, sepadan untuk melakukan pemindahan itu.
“Abangnya selaku penderma yang bersesuaian akan ke Hospital Ampang di Kuala Lumpur untuk melakukan proses mengumpul sum-sum tulang pada 12 Januari ini.
“Proses pemindahan sum-sum tulang itu pula akan dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejurus selepas itu,” katanya.
Marzini berkata, dia akan menemani Nuur Aishah tinggal di HPP selama tiga bulan untuk rawatan susulan dan sepanjang tempoh itu juga, dia memerlukan wang untuk kos selama tinggal di sana.
Katanya, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 untuk kos ke Hospital Ampang serta tinggal sementara di Pulau Pinang.
“Suami, Jamaludin Abdul Rahman, 52, hanya bekerja sebagai pemandu bot memancing dengan pendapatan tidak menentu setiap bulan.
“Anak sulung saya pula bekerja di sebuah kedai memproses ayam dengan pendapatan juga tidak menentu dan sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak,” katanya.
Menurutnya, dia juga turut menghidap penyakit asma serta ketumbuhan dalam kepala sejak 2004 yang memerlukan dia menjalani rawatan susulan di HSB.
Katanya, dengan keadaan anaknya yang sakit, dia tabahkan diri melupakan sementara penyakitnya itu dan memberi tumpuan untuk merawat anaknya dulu.
“Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7610342316 milik Marzini Abdullah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur untuk Nuur Aishah Hasanah, hari ini.
Katanya, CSM memberi sokongan kepada pesakit berkenaan untuk meneruskan rawatan sehingga keadaannya bertambah baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



