Kerajaan tiada hasrat kurangkan subsidi, bantuan sedia ada

Kerajaan tiada hasrat kurangkan subsidi, bantuan sedia ada

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan berpendirian tidak akan mengurangkan mana-mana subsidi atau bantuan sedia ada, buat masa ini termasuk Program BUDI MADANI (BUDI95), subsidi diesel, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pendirian itu kekal meskipun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global.

“Kerajaan tidak akan mengurangkan apa jua subsidi atau bantuan sedia ada. Itulah pendirian kerajaan pada ketika ini,” katanya menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Mohd Sany Hamzan) sama ada kerajaan akan mengurangkan subsidi bahan makanan lain dan bantuan sedia ada kepada rakyat susulan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Terdahulu menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai penilaian terkini kerajaan terhadap kesan konflik di Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api, Chin Tong berkata, konflik memberi tekanan ketara kepada pasaran tenaga global dan menyebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia.

Katanya, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.

“Subsidi pada Mei dan Jun pula menyederhana kepada sekitar RM4 bilion. Harga minyak terus menyederhana pada Julai dan sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi 2026 tertakluk kepada perkembangan krisis di Asia Barat.

“Walaupun kenaikan harga minyak meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia juga menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum.

“Setiap perubahan sebanyak 1 USD setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak sekitar RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk dividen PETRONAS,” katanya.

Katanya, peningkatan hasil ini dapat membantu menampung sebahagian tekanan tambahan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api.

“Kerajaan juga membuat pemantauan prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan keupayaan Kerajaan menampung keperluan perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top