Tertarik denga kerja 'lasak' dilakukan kakak

Tertarik denga kerja 'lasak' dilakukan kakak

asyikin.mat@hmetro.com.my

KECIL-KECIL cili padi. Pepatah ini tepat menggambarkan ‘kekuatan’ Siti Nurfasha Abdullah.

Apa tidaknya, gadis bertubuh kecil berusia 22 tahun ini tangkas dan tidak kekok melakukan kerja-kerja yang didominasi golongan lelaki.

Lebih mengagumkan, dia mampu mengangkat satu panel pintu kaca seberat kira-kira 30 kilogram (kg) bagi kerja-kerja pemasangan pintu gelangsar rumah pelanggan.

Siti Nurfasha berkata, kekuatan itu bukan hadir secara semula jadi, sebaliknya, dia menggunakan teknik yang betul untuk mengangkat panel pintu kaca berkenaan.

Menurutnya, untuk melakukannya, panel kaca didirikan terlebih dahulu, sebelum diangkat dan dimasukkan secara berhati-hati ke dalam rel, kemudian dilaraskan pada kedudukan yang sesuai.

“Saya ambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk memasang pintu ini. Kerja-kerja pemasangan menjadi lebih mudah jika rel dan roda penggelek pintu gelangsar dalam keadaan baik.

“Kali pertama memasang pintu gelangsar ini sedikit sukar, namun saya dapat mengatasinya hasil tunjuk ajar kakak yang lebih berpengalaman dalam bidang berkenaan,” katanya.

Menurut Siti Nurfasha, itu satu daripada tugas yang dilakukan sebagai tukang cermin dan aluminium, selain memasang tingkap kaca.

Berkongsi pembabitan awalnya dalam bidang itu, Siti Nurfasha berkata, dia sebenarnya bekerja bersama kakaknya iaitu usahawan yang mengusahakan perniagaan pintu dan tingkap kaca serta aluminium.

Katanya, pada mulanya dia bekerja sebagai kerani, sebelum diperkenalkan kepada bidang berkenaan, beberapa bulan kemudian.

“Kakak kerap membawa saya bertemu pelanggan dan mengajar saya untuk mengambil ukuran tingkap serta pintu.”Pendedahan yang berterusan membuatkan saya tertarik untuk terus mendalami bidang ini.

“Lama-kelamaan, saya seronok melakukan pekerjaan ini,” katanya.

Siti Nurfasha berkata, meskipun baru tiga tahun dalam bidang itu, tetapi dia bersyukur apabila ramai pelanggan berpuas hati dengan khidmatnya itu.

“Walaupun rakan sekerja ramai lelaki, tetapi mereka sangat prihatin dan sentiasa bersedia untuk memberikan pertolongan, jika membabitkan kerja yang berat.

“Saya mengakui, pada peringkat awal, tugas berkenaan memang sukar dan memerlukan kekuatan fizikal serta mental.

“Namun, semuanya menjadi lebih mudah selepas mendapat pengalaman dan membiasakan diri dengan rutin kerja harian,” katanya.

Katanya lagi, pembabitan wanita dalam bidang pemasangan kaca dan aluminium masih minimum.

“Jika ingin mencuba, jangan fikir ia susah. Cuba dahulu. Paling penting perlu ada keyakinan diri dan tidak mudah berputus asa,” katanya yang menetap di Kelantan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top