mohamadridzuan@hmetro.com.my
Pelakon Zahiril Adzim sememangnya dikenali sebagai aktor versatil yang mampu membawakan pelbagai watak yang menepati kredibiliti dan citarasa bagi sesebuah naskhah.
Bagaimanapun, kesediaan Zahiril, 42, melakonkan watak lelaki lembut bernama Amier Daniel dalam filem Libang Libu dilihat sedikit berbeza daripada kebiasaan.
Pelakon bernama sebenar Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar ini berkata, pertimbangan terhadap sesuatu perkara dan komited terhadap lakonan menjadi punca dia keluar daripada karakter selesanya selama ini.
“Sebenarnya saya tak adalah macam bersetuju untuk buat karakter ini jika untuk mempromosikan watak yang tidak sepatutnya.
“Saya okay kerana Amier Daniel sudah menjelaskan dalam karakternya bahawa dia lelaki normal, cuma perwatakannya agak ‘lembut’.
“Jadi dia bawa pengajaran kepada kita, jangan menilai asal nampak lelaki lembut saja. Saya sendiri pun ada kenal orang-orang macam ini, perwatakan lembut.
“Tapi dia berkahwin, ada cahaya mata. Untuk tengok karakter macam ini, saya rasa macam ‘circle’ saya pun ramai saja yang perwatakan begini,” katanya.
Menurutnya, setiap hari semasa bekerja juga dia akan berjumpa sekali gus bergaul dengan golongan ini dan ia bukan perkara luar biasa buat dirinya.
“Golongan lelaki lembut bukan ada dalam industri seni sahaja, tapi dalam kehidupan, dalam masyarakat kita pun ramai orang-orang macam itu.
“Jadi, filem adalah cermin pada masyarakat. Selagi dia tak mempromosikan benda-benda yang tak elok, yang tak bagus, yang melanggar batas-batas agama, saya okay saja untuk saya bawa karakter macam itu.
“Saya pun tak susah nak buat rujukan watak ini kerana ia banyak dan kerap berada di depan mata saya,” katanya. Zahiril yang menyerlah dengan drama fenomena Andai Tiada Dia menerusi watak Falah, mengakui agak gemuruh melakonkan karakter lelaki lembut di set penggambaran terutama di hadapan ramai orang.
“Saya segan. Saya macam tak pandai, takut dia melampau ‘overacting’ kan. Gementarlah. Masa babak pertama saya buat untuk filem ini yang berdialog “cut! air! kipas!”, itu saya kena jerit betul-betul dekat set.
“Mula-mula saya segan. Saya pernah juga bawa watak begini dalam Amira Amir. Tapi itu ceritanya lebih dalam, lebih bercerita tentang golongan ini dan macam mana kita nak mengatasi golongan ini.
“Juga macam mana kita nak ‘handle’ dalam ‘society’ kita melalui golongan ini. Tapi ini (Libang Libu) tak ada langsung. Ini masih lagi ‘surface’ saja. Ia dua benda berbeza,” katanya.
Bercerita perkembangan terkini kariernya, Zahiril bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan baik sama ada lakonan drama mahupun filem.
“Meriahnya lain macam. Alhamdulillah… saya masih lagi aktif, syukur rezeki saya dan keluarga, tapi saya bimbanglah nak cakap banyak sangat.
“Takut tiba-tiba orang kata macam “wah riaknya kau, berlagaknya kau” kan. Apapun saya sangat beruntung kerana isteri saya (Shera Aiyob) selalu doa banyak-banyak.
“Dia selalu doa supaya banyak lagi tawaran-tawaran yang baik datang kepada saya. Dia pun risau juga takut ada datang tawaran yang mungkin tak berapa baik untuk saya.
“Tapi selagi saya boleh, ada kudrat, saya berjuang jugalah untuk hidup dalam industri seni. Apa pun ada juga tawaran yang terpaksa saya tolak sebab jadual, sebab ‘story’ (jalan cerita), sebab rasa karakter tak kena dengan saya,” katanya.
Katanya lagi, jika tawaran karakternya tidak sesuai atau tidak kena, dia akan berbincang dengan isteri yang juga merangkap pengurusnya sebelum membuat keputusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




