Tertarik iklan kereta terpakai, 2 lelaki jadi mangsa penipuan

Tertarik iklan kereta terpakai, 2 lelaki jadi mangsa penipuan

am@hmetro.com.my

Miri: Impian dua lelaki memiliki kereta terpakai gagal apabila mereka kerugian RM25,000 selepas dipercayai diperdaya individu menyamar sebagai orang tengah dalam urusan jual beli kenderaan menerusi laman sosial.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 41 dan 45 tahun membuat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga selepas berurusan dengan individu terbabit melalui aplikasi pemesejan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohamad Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes penipuan itu pada 8 Oktober lalu.

Katanya, dalam kes pertama, mangsa berusia 41 tahun tertarik dengan iklan penjualan Perodua Myvi 1.3 Auto keluaran 2013 berwarna hitam pada harga RM4,500 yang dipaparkan di laman sosial.

“Mangsa kemudian menghubungi individu itu menerusi aplikasi pemesejan sebelum melihat sendiri kenderaan itu di Miri dan berpuas hati dengan keadaannya. Bagaimanapun mangsa diarahkan membuat tiga transaksi pembayaran ke dua akaun bank pihak ketiga berjumlah RM6,000.

“Mangsa mendapati pemilik sebenar kenderaan tidak menerima wang itu, malah menafikan memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam urusan jual beli berkenaan, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farhan berkata, bagi kes kedua pula mangsa lelaki berusia 45 tahun tertarik dengan iklan penjualan Toyota Estima Aeras pada harga RM22,000 di laman sosial.

“Mangsa berurusan dengan individu terbabit menerusi aplikasi pemesejan sebelum pergi ke Batu Niah pada 7 Oktober lalu untuk melihat dan memandu uji kenderaan itu.

“Selepas berpuas hati, mangsa membuat tiga transaksi pembayaran berjumlah RM19,000 ke akaun bank pihak ketiga seperti diarahkan individu terbabit.

“Bagaimanapun mangsa mendapati pemilik sebenar kenderaan masih belum menerima sebarang bayaran dan menyedari dirinya ditipu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top