WASHINGTON: Keputusan mengejut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk membeli diesel dari Russia kembali mencetuskan ketegangan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, yang membantah langkah Washington ketika negaranya masih berperang dengan Moscow.
Zelenskyy menyifatkan perjanjian yang diumumkan Trump bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, sebagai sangat teruk, tidak adil dan tidak jujur.
Trump mengumumkan perjanjian itu menerusi platform Truth Social kelmarin dan menjelaskan pembelian diesel dari Russia penting untuk mengurangkan harga bahan api di AS yang melonjak susulan keputusan Washington berperang dengan Iran.
Memuatkan artikel berkaitan…
Langkah itu berpotensi mencetuskan krisis baharu dalam hubungan Washington dan sekutu Eropah dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selain menimbulkan persoalan mengenai komitmen AS terhadap tekanan Barat ke atas Kremlin supaya menamatkan perang di Ukraine.
Dalam hantaran itu, Trump memaklumkan mencapai persetujuan dengan Putin untuk membekalkan lebih 300,000 tan diesel ke pasaran AS dan global dengan segera, diikuti 500,000 tan lagi sepanjang November serta satu juta tan selepas itu.
“Berdasarkan keadaan loji penapisan diesel mereka, Russia akan membekalkan tiga juta tan bahan api diesel dalam tempoh singkat.
“Harga diesel untuk rakyat Amerika dan seluruh dunia akan turun dengan kadar rekod dan pantas. Menurunkan harga untuk rakyat Amerika, khususnya petani, penternak dan pemandu lori, menjadi keutamaan terbesar saya,” tulis Trump.
Zelenskyy mengecam keras perjanjian itu dan menyifatkannya sebagai ‘hadiah hari lahir’ paling menggembirakan buat Putin, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-74 awal minggu ini.
Dalam hantaran panjang di media sosial, beliau menegaskan perjanjian itu merupakan pelaburan perang yang sepatutnya ditamatkan bukan dipanjangkan, selain memberi amaran Russia berkemungkinan membalas dengan lebih banyak keganasan serta pengkhianatan.
“Ia menguntungkan Russia, sekali gus membolehkan negara itu membunuh lebih ramai orang, meneruskan perang lebih lama, semakin tidak menghormati Amerika dan mengakibatkan kemusnahan serta kerugian lebih besar kepada dunia,” katanya.
Kenaikan mendadak harga diesel menjejaskan kedudukan politik Trump dan Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Bulan lalu, harga diesel melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah itu AS$6.52 (RM26.60) segelen.




