Pernah datang ke Malaysia bagi membuka konsert jelajah Lany pada Semptember tahun lalu, kumpulan muzik Amerika Syarikat, Culture Wars teruja dapat kembali ke Kuala Lumpur.
Kehadiran Alex Dugan, Caleb Contreras, Dillon Randolph, David Grayson dan Josh Stirm adalah untuk mengadakan persembahan pembukaan bagi Konsert Siri Jelajah Maroon 5 Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, malam esok.
“Selepas datang ke sini tahun lalu, ada antara kami pernah katakan yang kami bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi. Tapi, kami tak sangka ia secepat ini dan mendapat peluang untuk membuka konsert siri jelajah Maroon 5 Asia 2025.
“Kami teruja untuk kembali ke Malaysia dan bertemu dengan peminat di sini. Kami bakal membawakan lapan buah lagu dan berharap peminat dapat sama-sama berhibur dengan Culture Wars,” kata Alex selaku vokalis.

Lima jejaka itu ditemui XTRA di sesi media bersama Culture Wars di Ascott KL, sebentar tadi.
Sempat berkunjung ke Batu Caves bagi merasakan sendiri pengalaman budaya Malaysia, kumpulan yang kini mempromosikan single It Hurts gemar menikmati juadah rendang.
“Pagi tadi kami sempat ke Batu Caves. Tak sangka hari ini merupakan sambutan perayaan Thaipusam di sana. Kami terkejut dan teruja melihat ramai orang berkumpul di sana.
“Kami juga mencuba pelbagai juadah Malaysia seperti sambal udang, masak lemak dan sebagainya. Tapi menu yang paling kami gemari adalah rendang,” katanya lagi.




