'Terus terbang tinggi, biarpun cabaran mendatang'

'Terus terbang tinggi, biarpun cabaran mendatang'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Lapangkan dada, hadir untuk berhibur tanpa sebarang perbandingan, menjadi prinsip diguna pakai kira-kira 4,500 penonton yang menyaksikan Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi di IdeaLive Arena, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berbanding Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka pada 2015 yang diadakan di tempat terbuka dengan kehadiran 20,000 penonton, Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi pula menawarkan sesuatu yang berbeza baik dari segi keseronokan, keintiman dan emosi yang lebih menyerlah.

Ia juga menjadi bukti bahawa di sebalik polemik, kemelut, kejutan dan pelbagai cerita di sebalik tabir sebelum pelaksanaannya, Wings tetap Wings dan akan terus terbang tinggi seiring dengan nama mereka.

Sambutan yang diterima malam itu membuktikan Wings disokong oleh komuniti peminat yang utuh dan kekal menyokong walau apa sahaja dugaan datang melanda kumpulan kesayangan mereka.

Menerusi lagu-lagu ikonik mereka yang kekal menjadi siulan peminat sehingga kini, nama Wings sememangnya tidak akan pudar dalam ingatan peminat buat selama-lamanya.

Dengan barisan yang ada iaitu Sham (gitar), Edrie (gitar) bersama Ilham atau Am (bass) dan Pae (drum), kemunculan Wings yang diterajui oleh Datuk Awie begitu dinanti-nantikan peminat.

Tepat jam 8.30 malam, mereka tampil di atas pentas dan tanpa menunggu masa yang lama, suasana terus dihangatkan dengan lagu Jerangkung Dalam Almari yang dihidupkan dengan penataan pentas yang menarik.

Peminat dibawa masuk ke suatu zaman kegemilangan rock era 1990-an dan kehangatan diteruskan pula dengan lagu Inspirasi Taming Sari dan Kota Kemusnahan.

Kecanggihan teknologi sistem bunyi dimanfaatkan sepenuhnya apabila konsert ini tampil dengan audio yang hebat dan bertenaga yang melekat di telinga peminat.

Gabungan teknologi audio dan cahaya itu juga memang mantap.

Awie yang sudah empat dekad membawa semangat rock, kekal bertenaga dengan suaranya yang padu. Kemampuannya tidak perlu dinafikan lagi.

Dia tidak lupa memberi kredit kepada pihak-pihak yang merealisasikan konsert bersejarah ini.

“Terima kasih kepada RPM Event yang merialisasikan konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi dan terima kasih kepada semua yang hadir malam ini, anda adalah dewa-dewa yang menjadikannya satu realiti,” katanya.

Tidak dapat tidak, Am menjadi tumpuan pada malam itu untuk penilaian peminat terhadap kemampuannya bersama Wings dan dia membuktikan pemilihannya adalah tepat.

Persembahan Pae pula sudah diketahui ramai kerana sudah acap kali mengiringi persembahan Awie menerusi kumpulan Dragon Malaya.

Manakala Edrie dan Sham sememangnya dikenali sudah berpengalaman dan sentuhan mereka benar-benar menjadi. Raungan solo mereka membakar pentas dan disambut tepukan bergemuruh peminat.

Persembahan Wings pada malam itu turut dibantu oleh pemain keyboard terkenal, Firdaus serta penyanyi latar, The Vocalist yang didatangkan khas dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Penampilan mereka membawa sentuhan indah untuk lagu Taman Rashidah Utama, Perhentian dan Opera Hidup.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam 30 minit berakhir pada 12 tengah malam. Diikutkan Wings mahu mencipta rekod menyampaikan 40 buah lagu sempena ulang tahun ke-40 mereka.

Bagaimanapun, masa tidak mengizinkan dan hanya sekitar 34 lagu berjaya dinyanyikan. Bagaimanapun, peminat tetap pulang puas kerana disajikan lagu-lagu penuh memori yang melingkari hidup mereka sejak zaman remaja.

Lagu-lagu yang dinyanyikan malam itu ialah Romania, Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang, Opera Hidup, Bujang Senang, Rantai, Awang Trasher. Sejati, Midnight Blues, Hukum Karma, Peronda Jaket Biru, Kau Bukan Brader Lipas Kudung, Harapan, Mabuk 7 Lautan dan Biarkan Berlalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top