Tetap semangat dan padu demi ubat rindu peminat

Tetap semangat dan padu demi ubat rindu peminat

mohamadridzuan@hmetro.com.my

KERINDUAN untuk menikmati nyanyian gemersik yang penuh jiwa serta mendalam dari Nazrey Johani selepas dua dekad.

Itulah yang membawa hampir 3500 penonton hadir menikmati Konsert The Rayhan Syukur 2026 yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.

The Rayhan bukanlah Raihan kerana kumpulan terbabit yang dianggotai oleh Che Amran Idris dan Abu Bakar Md Yatim masih aktif dalam industri dan sering tampil dalam persembahan.

Sebaliknya Nazrey bersama Amran Ibrahim dan Zulfadzli Mustaza (Afad) yang semuanya pernah bersama Raihan satu ketika dahulu, tampil mengubat kerinduan peminat terhadap alunan lagu nasyid.

Mesej mendalam yang dibawakan menerusi muzik kontemporari ini pernah mencetuskan fenomena bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara serta sehingga membawa ke negara Eropah.

Tidak dinafikan ia membuka lembaran baharu buat mereka bagi membawa cabaran meneruskan legasi seni berteraskan dakwah.

Ia berjaya menarik kehadiran peminat seusia The Rayhan, namun pada masa sama terselit juga golongan remaja dan kanak-kanak sekali gus membuktikan muzik nasyid kekal diterima dan mampu menyatukan peminat merentasi generasi.

Kerinduan peminat terlerai sebaik pentas dibuka dengan lagu pertama Assolatuwassalam, Syukur dan Bersatu untuk konsert yang menghimpunkan lebih 20 lagu itu.

Keserasian vokal trio ini ternyata membentuk persembahan penuh harmoni dan penonton mula mengimbau kembali kenangan semasa lagu-lagu ini popular.

Mereka seterusnya menyanyikan lagu Damba Cintamu, Peristiwa Subuh serta medley God Is The Light dan Thank You Allah serta Bonds Of Love.

Segmen ini turut menyelitkan tribute khas kepada Allahyarham Azhari Ahmad dan Nordin Jaafar yang pernah menabur bakti bersama Raihan.

Tayangan muzik video lagu-lagu yang menampilkan anggota asal Raihan termasuk Azhari semasa lagu ini dinyanyikan, ternyata mengundang sebak dikalangan peminat.

Mereka turut mengundang kanak-kanak dari Genius Aulad menerusi lagu berunsur pendidikan Islam seperti Doa Makan, medley Sifat 20, 25 Rasul dan 10 Malaikat.

Walaupun sudah melakukan persediaan rapi termasuk aspek stamina, Nazrey berdepan cabaran tersendiri apabila hilang suara secara tiba-tiba semasa pertengahan konsert ini.

Agak kasihan juga melihat dia bergelut untuk meneruskan persembahan. Mujurlah Amran dan Afad serta anggota kumpulan nasyid NowSeeHeart sebagai penyanyi latar, dapat mengimbangi masalah yang berlaku.

The Rayhan seterusnya menyampaikan lagu Allahu, Junjungan Mulia, Senyum dan turut memperkenalkan lagu terbaharu berjudul Assalamualaikum.

Kemunculan penyanyi legenda, Herman Tino sebagai artis jemputan membuatkan suasana menjadi gamat namun kekal terkawal.

Herman bergandingan dengan The Rayhan menerusi lagu Aku Milik-Mu, sebelum meneruskan persembahan solo dengan lagu Di Sini Saja.

Walaupun dua lagu ini genrenya berbeza, tetapi mesej ditampilkan membawa makna mendalam pada peminat yang hadir.

Penonton terus dibuai rasa keinsafan menerusi lagu Ya Rasulullah, Rayuan Rindu, Sesungguhnya dan I’tiraf. Ketika ini ada penonton yang mengalirkan air mata menikmati lagu berbentuk pengakuan dan rayuan kepada Allah SWT ini.

Detik yang ditunggu akhirnya tiba dengan kemunculan penyanyi nasyid terkenal Indonesia, Opick yang berduet dengan The Rayhan menerusi lagu Demi Masa.

Gandingan istimewa ini sangat indah dan mencuri hati penonton. Opick kemudian diberikan ruang menyanyikan dua lagu solo iaitu Rapuh dan Dealova.

The Rayhan kemudian menutup persembahan dengan lagu Rakan Selawat, Iman Mutiara dan Puji-Pujian.

Konsert The Rayhan Syukur 2026 berjaya mengembalikan nostalgia buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu yang dinyanyikan.

Juga tidak keterlaluan dikatakan ia turut berjaya mengembalikan populariti Nazrey yang sudah lama hilang kepada peminat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top