suliati@hmetro.com.my
JURUKIMPAL atau ‘welder’ sering digambarkan sebagai kerjaya lasak yang sinonim dengan kaum lelaki.
Bekerja dalam keadaan panas, berdebu, berdepan percikan api dan perlu kekuatan fizikal membuatkan bidang itu jarang diceburi wanita.
Namun, tanggapan itu disangkal Nur Fatin Aleeya Mat Zaid, 21, anak jati Terengganu yang nekad menceburi bidang ini bermula di Kolej Vokasional Dungun.
Lebih mesra disapa Teya, dia bukan sahaja berjaya membuktikan kerjaya lasak ini boleh diceburi golongan wanita, malah keupayaan dan ketelitiannya meletakkan namanya sebaris dengan jurukimpal mahir lain.
Bermula dengan hanya ingin mencuba, perlahan-lahan Teya mengatur langkah lebih jauh dalam bidang kimpalan yang juga satu daripada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerjaya.
Teya, walaupun ramai yang mempertikaikan pilihannya itu, dia tetap nekad kerana percaya dengan kemampuannya.
“Saya seorang yang keras. Jadi, apapun orang kata, saya teruskan pilihan yang juga sangat disokong oleh ibu.
“Ibu juga sedikit sebanyak mampu membaiki barangan elektronik selain motosikal.
“Kerana itu, ibu menyokong saya untuk bekerja dalam bidang membabitkan kemahiran,” katanya.Teya turut melihat kelebihan ketara kemahiran dalam dunia pekerjaan sekarang.
Menurutnya, syarikat yang pernah disertai semuanya lebih terbuka untuk menerima pekerja yang mempunyai kemahiran.
“Bagi syarikat berkenaan, walaupun hanya mempunyai kemahiran asas, namun ia boleh diasah.
“Pada masa sama, seseorang juga boleh mempelajari teori semasa bekerja kerana biasanya, situasi ketika bekerja tidak sama dengan mempelajari melalui buku. Ada kalanya kita perlu berfikir menggunakan logik,” katanya.
Kemahiran juga, kata Teya, mampu menjamin masa depan kerana banyak ilmu yang dikongsi daripada mereka yang berpengalaman.
Ilmu itu juga membolehkan seseorang melangkah lebih jauh dalam bidang kemahiran.
Yakin dengan bidang kemahiran yang menawarkan peluang luas, selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Johor, Teya memulakan kerjaya sebagai jurukimpal.
Daripada menjadi jurukimpal yang boleh ‘demand’ bayaran tinggi hinggalah ke posisi kawalan kualiti (QC) yang memerlukan ketelitian dalam menilai produk sebelum diluluskan pemeriksa kimpalan, Teya terus melangkah jauh.
Kini, Teya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Bachelor of Engineering Technology (Welding and Quality Inspection) di UniKL MFI sambil bekerja.
Teya juga berusaha menyimpan wang untuk mengambil sijil kemahiran tahap 3.1 seterusnya melangkah ke tahap pemeriksa kimpalan.
“Sebelum ini, saya ada diploma sahaja selain yang paling muda sewaktu menjadi QC. Namun, saya hanya boleh melakukan kerja-kerja biasa. Apa-apa laporan mengenai kerja, saya tidak boleh mengesahkan dan menandatanganinya.
“Selepas menyambung pengajian, Alhamdulillah, saya kini mendapat kepercayaan dan boleh menurunkan tandatangan selain menulis nama pada laporan pemeriksaan yang dibuat,” katanya yang hanya akan bekerja semasa cuti semester.
Perjalanan Teya dalam bidang ini tidak semudah yang disangka. Bermula daripada belajar sehinggalah ke alam pekerjaan, banyak cabaran diharunginya.
Teya mengakui, cabaran terbesarnya apabila orang memandang rendah dan tidak percaya kemampuannya hanya kerana dia wanita.
“Walaupun tidak pernah putus asa, tetapi saya pernah terguris kerana ada pihak yang tidak percaya saya boleh buat kerja.
“Saya pernah hantar ‘resume’ ke sebuah syarikat, tetapi permohonan saya terus ditolak hanya kerana saya perempuan,” katanya.
Kejadian itu tidak mematahkan semangat Teya, sebaliknya dia berjaya membuktikan kemampuannya.
“Semasa bekerja di syarikat kedua, saya berjumpa wakil syarikat yang menolak permohonan kerja saya. Dia agak terkejut kerana saya boleh lakukan kerja ditugaskan berseorangan.
“Kemahiran kimpalan ini juga ubah keyakinan saya yang mana seberat apapun kerja itu, kalau kita berusaha, kita akan dapat lakukannya,” katanya.
Sebagai seorang yang mula berkecimpung dalam bidang kemahiran seawal usia 16 tahun, Teya menggalakkan golongan muda, terutama wanita, supaya berani mengambil bidang kemahiran.
“Bagi saya, jika golongan wanita menceburi bidang kemahiran terutama kimpalan, ia bonus kerana tidak semua wanita boleh ‘bermain’ dengan api, minyak atau memanjat tempat tinggi.
“Saya berharap, masyarakat atau syarikat, membuang pemikiran yang wanita tidak boleh melakukan kerja berat atau kerja yang didominasi lelaki,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



