TFC enggan pandang rendah prestasi Sri Pahang FC

TFC enggan pandang rendah prestasi Sri Pahang FC

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) tetap berwaspada dengan cabaran Sri Pahang FC biarpun pasukan itu berada dalam prestasi tidak menentu.

Pengendali TFC Tomislav Steinbruckner berkata skuad bimbingan Fandi Ahmad pastinya akan turun dengan misi memburu tiga mata bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Beliau berkata dua ayam tambatan skuad Tok Gajah, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo perlu dikawal rapi sekiranya skuad Penyu tidak mahu diaibkan di hadapan penyokong sendiri.

“Sri Pahang menduduki tangga ke-10 dengan enam mata setakat ini tapi mereka memiliki kualiti tertentu. Tidak kisah mereka ada enam mata tapi yang penting prestasi kita perlu baik untuk menang,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, TFC menghuni tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 14 mata, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

Sementara itu, Steinbruckner berkata Muhammad Safawi Rasid akan mengetuai jentera serangan TFC di Syadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dan motivasi pasukan berada pada tahap terbaik biarpun beberapa pemain dibelenggu kecederaan seperti Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Akhyar Rashid) dan Manuel Ott.

Beliau berkata TFC juga akan mengekalkan khidmat Suhaimi Husin sebagai benteng pertahanan akhir malam esok selepas pemain itu mempamer aksi cemerlang pada perlawanan menentang KL City di Cheras minggu lepas. – BERNAMA

Scroll to Top