sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) dikhabarkan akan hanya mengekalkan seorang pemain importnya daripada enam pemain pada musim 2024/2025.
Menurut sumber, tonggak import yang dikatakan akan terus menyarung jersi skuad Penyu bagi musim 2025/2026 adalah pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov.
Jelas sumber itu, prestasi konsisten diperagakan ‘arkitek’ kelahiran Uzbekistan itu sepanjang musim membuatkan TFC mahukan khidmatnya disambung.
“Berdasarkan prestasi sepanjang musim lalu, pemain itu (Tukhtasinov) dijangka bakal dikekalkan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan Ogos ini.
“Bagaimanapun lima lagi pemain import mungkin akan mengucapkan selamat tinggal buat pasukan selepas mereka gagal mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim.
“Bagi mengisi kuota pemain import TFC musim akan datang, pihak pengurusan kini dalam usaha mengintai beberapa pemain berkualiti untuk disenaraikan dalam pasukan.
“Namun ianya juga bergantung kepada bajet pasukan bagi mengelak skuad berdepan masalah isu pembayaran gaji dan sebagainya,” ujar sumber itu ketika dihubungi.
Selain Tukhtasinov, musim ini TFC meletakkan sandaran kepada tiga penyerang iaitu Nelson Bonilla, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade selain Manuel Ott (tengah) serta pertahanan, Argzim Redzovic.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali yang mengambil alih tugas ketua jurulatih bermula Oktober tahun lalu daripada Tomislav Steinbruckner hanya mampu menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima berbanding sasaran di kelompok tiga pasukan terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




