TFC, Sabah FC terikat di Gong Badak

bhsukan@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) gagal membalas dendam kekalahan kepada Sabah FC pada aksi pusingan pertama apabila terikat 0-0 dengan lawan sama dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Bagaimanapun keputusan itu tidak mengubah kedudukan skuad kendalian Nafuzi Zain di tangga kedua liga dengan mengumpul 31 mata, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

TFC yang kehilangan kapten, Carli De Murga kerana mengalami kecederaan menurunkan pertahanan Terengganu FC II (TFC II), Argzim Redzovic untuk mengetuai benteng dengan pemain itu berjaya melakukan tugasnya.

Sepanjang babak pertama, skuad Penyu lebih banyak mendominasi permainan dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat menerusi Faisal Halim dan Faiz Nasir berbanding satu diperolehi skuad Sang Badak.

Namun kekentalan pertahanan pelawat selain nasib tidak menyebelahi pasukan tuan rumah termasuk bola terkena palang gol menerusi rembatan pemain tengah, Dechi Marcel pada minit ke-40 menyaksikan aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 0-0.

Bersambung babak kedua, pengendali Sabah, Kurniawan Yulianto mengubah taktikal dengan memasukkan bekas penyerang Harimau Malaya, Mohd Amri Yahyah dan pemain import kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani bagi menghidupkan jentera serangan.

Kemasukan dua pemain itu ternyata menambah sengat di bahagian serangan pelawat dengan beberapa percubaan tepat yang hampir menemui jaringan namun dinafikan pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-89, penyerang TFC, David Da Silva berjaya menyumbat gol menerusi sepakan percuma namun dibatalkan pengadil, Suhaizi Shukri kerana pemain tuan rumah terlebih dahulu ofsaid.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Likas, TFC tewas 1-2.

© New Straits Times Press (M) Bhd