Dedah aib pasangan di media sosial ibarat 'dosa atas dosa'

Dedah aib pasangan di media sosial ibarat 'dosa atas dosa'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Niat seorang isteri menyebarkan video kecurangan suami dan pihak ketiga di media sosial atas alasan mahu memberi pengajaran adalah haram di sisi agama selain mendedahkan mangsa kepada risiko muflis disaman sivil.

Perbuatan mendedahkan keaiban rumah tangga di khalayak umum itu disifatkan sebagai ‘dosa atas dosa’, manakala dari sudut perundangan, emosi yang tidak dikawal ibarat menyerahkan senjata kepada pihak lawan untuk menyerang balas.

Penceramah Bebas Kekeluargaan, Maudah Ali berkata, Islam melarang keras perbuatan menyebarkan aib walaupun suami terbukti bersalah apatah lagi sehingga mengundang kecaman ribuan netizen.

Beliau berkata, isteri dibenarkan merakam kejadian berkenaan memandangkan kesukaran mendapatkan empat saksi pada masa ini, namun ia terhad sebagai bahan bukti perbicaraan di Mahkamah Syariah sahaja.

“Rakaman itu bukan untuk ditularkan bagi meraih tontonan di media sosial. Sesiapa yang tidak menutup aib orang lain di dunia, Allah SWT akan mendedahkan aibnya kelak di Padang Mahsyar.

“Tindakan isteri yang gagal mengawal emosi sehingga menyerang fizikal dan mengasari pihak ketiga di tempat awam juga hanya akan merugikan mangsa kembali, ibarat meludah ke langit, jatuh terkena muka sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustazah Cinta berkata, netizen yang menyokong dan menyiasat kisah lama pihak ketiga di ruangan komen turut melakukan dosa besar sesama manusia (ghibah) yang menuntut pelakunya memohon maaf secara individu di akhirat kelak.

Katanya, tindakan menularkan kes ini tanpa berfikir panjang turut membuka ruang besar kepada isteri serta netizen untuk diheret ke mahkamah sivil oleh pihak ketiga.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mastika Nasrun berkata, pihak ketiga berhak mengemukakan tindakan saman fitnah sekiranya hantaran tular tersebut memenuhi tiga elemen utama perundangan sivil.

Beliau berkata, tiga elemen berkenaan adalah kenyataan tersebut tidak benar, merujuk kepada identiti plaintif secara spesifik dan disebarkan kepada umum.

“Isteri mungkin bergantung kepada pembelaan kebenaran, namun mereka masih berisiko kalah di mahkamah sekiranya terdapat sedikit sahaja unsur rekaan emosi dalam hantaran tersebut.

“Jika terdapat 100 butiran didedahkan, namun dua atau tiga daripadanya didapati tidak tepat, kesalahan kecil itu sudah cukup untuk membolehkan pihak ketiga memenangi saman fitnah,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan mengaibkan individu di platform digital juga tertakluk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tindakan jenayah siber.

Bagaimanapun, bagi kes sivil, netizen yang bertindak sebagai ‘batu api’ turut tidak terlepas dan boleh disaman bersama-sama pemuat naik asal dalam satu tindakan mahkamah.

Katanya, pihak ketiga berhak menuntut ganti rugi yang tinggi sekiranya mereka dibuang kerja akibat pendedahan tular tersebut, asalkan mereka memenangi kes saman fitnah itu terlebih dahulu.

“Isteri dinasihatkan mengumpul bukti secara kronologi dan selesaikan di Mahkamah Syariah kerana tindakan tular ini akhirnya hanya memalukan dan memusnahkan emosi anak-anak apabila mereka membaca ‘jejak digital’ pergaduhan ibu bapa kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top