Iran sekat dua kapal tangki minyak daripada melepasi Selat Hormuz

Iran sekat dua kapal tangki minyak daripada melepasi Selat Hormuz
Iran sekat dua kapal tangki minyak daripada melepasi Selat Hormuz

Pada Sabtu, Iran mengumumkan bahawa ia sedang memperketat kawalan ke atas Selat Hormuz.

ISTANBUL – Iran pada Ahad memaksa dua kapal tangki minyak berpatah balik ketika mereka cuba melalui Selat Hormuz, dengan menyatakan langkah itu sebagai tindak balas kepada sekatan berterusan Amerika Syarikat (AS) terhadap pelabuhan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kapal tersebut, yang beroperasi di bawah bendera Botswana dan Angola, terpaksa menukar haluan dan berundur selepas cubaan ‘transit tanpa kebenaran’ melalui laluan air utama itu, menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.

Pada Sabtu, Iran mengumumkan bahawa ia sedang memperketat kawalan ke atas Selat Hormuz dan memberi amaran kepada pengendali perkapalan bahawa koridor tenaga utama itu telah ditutup semula secara berkesan.

Permusuhan di rantau tersebut telah meningkat selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari.

Sebagai tindak balas, Teheran membalas dengan serangan ke atas Israel dan negara serantau lain yang menempatkan aset AS.

Peperangan itu telah ditangguhkan sejak 8 April, apabila Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata selama dua minggu.

Washington dan Teheran mengadakan perbincangan di Pakistan hujung minggu lalu, namun rundingan tersebut berakhir tanpa sebarang perjanjian. Pengantara Pakistan sedang berusaha untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan antara kedua-dua belah pihak. – Bernama-Anadolu

Scroll to Top