TH tumpu pelaburan domestik

TH tumpu pelaburan domestik

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus menumpukan pelaburan di Malaysia berbanding pengembangan portfolio di luar negara selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menyokong dan merangsang pelaburan domestik.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata, peruntukan aset strategik bagi pelaburan TH di luar negara adalah sekitar 10 peratus dan buat masa ini pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk membuat pelaburan tambahan.

“Peluang pelaburan di luar negara adalah lebih luas dan boleh memberikan pulangan kompetitif…tetapi kita akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk memberi tumpuan pelaburan dalam negara untuk jangka masa pendek dan sederhana,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2023, di sini hari ini.

Syed Hamadah berkata, mandat yang diberikan kepada TH adalah untuk memastikan deposit penyimpan selamat dan dapat memberi pulangan yang stabil, perkara itu dapat dicapai dengan mengikut disiplin alokasi aset strategik yang sentiasa sentiasa fokus terhadap kadar pulangan yang setimpal dengan risiko diambil.

“Lebih separuh atau 58 peratus pelaburan TH ketika ini adalah dalam bentuk pendapatan tetap atau sukuk dan ini adalah asas yang membolehkan institusi itu memperoleh pulangan berulang dan selamat. Selebihnya institusi itu akan menumpukan kepada ekuiti, pasaran wang dan hartanah termasuk pelaburan di dalam dan luar negara,” katanya.

TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2023, sama seperti tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika mengumumkan perkara itu berkata jumlah keseluruhan agihan keuntungan berkenaan melibatkan RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH. – BERNAMA

 

Scroll to Top