Bangkok: Seramai 145 orang maut, manakala 769 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya sepanjang tiga hari pertama tempoh perjalanan sempena cuti Tahun Baharu di Thailand, lapor Bangkok Post.
Negara itu sebelum ini mengumumkan cuti Tahun Baharu 2026 selama lima hari bermula 31 Disember 2025 hingga 4 Januari ini.
Menurut statistik pihak berkuasa yang dikeluarkan pada Jumaat, Bangkok merekodkan jumlah kematian tertinggi, manakala Phuket mencatatkan bilangan kemalangan dan kecederaan paling tinggi.
Timbalan Setiausaha Tetap Pengangkutan, Jirapong Thepphitak berkata, angka terbaharu itu diperoleh daripada Pusat Arahan Keselamatan Jalan Raya yang memantau keselamatan sepanjang tempoh cuti berkenaan.
Katanya, statistik pada 1 Januari sahaja merekodkan sebanyak 26 kemalangan berlaku di seluruh negara yang menyebabkan 317 orang cedera dan 54 kematian.
“Memandu melebihi had laju dikenal pasti sebagai punca utama yang menyumbang 40.18 peratus daripada keseluruhan kemalangan.
“Ia diikuti oleh kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sebanyak 29.45 peratus, manakala motosikal terbabit dalam 76.92 peratus kes kemalangan,” katanya.
Menurutnya, data menunjukkan sebanyak 78.22 peratus kemalangan berlaku di laluan lurus dengan lebuh raya menyumbang 36.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, jalan di bawah seliaan organisasi pentadbiran pihak berkuasa tempatan serta jalan kampung merangkumi 29.75 peratus daripada statistik kemalangan.
Katanya, tempoh antara 12.01 tengah malam hingga 3 pagi dikenal pasti sebagai waktu paling berbahaya apabila 25.15 peratus kejadian direkodkan dalam tempoh berkenaan.
“Kumpulan umur 20 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu mewakili 22.91 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya.
Secara keseluruhan, Phuket merekodkan 34 kes kemalangan dengan 38 mangsa cedera, manakala Bangkok merekodkan 12 kematian sepanjang tempoh tiga hari itu.
Pihak berkuasa menjangkakan lebih 700,000 kenderaan akan mula memasuki semula ibu kota dan wilayah lain dalam tempoh hari ini dan esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




