KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membidas tindakan dua ahli politik yang cuba mempolitikkan isu tanah perkuburan umat Islam di Semenyih.
Beliau berkata, Kuala Lumpur kini berdepan masalah kekurangan tanah perkuburan Islam yang kritikal bagi menampung keperluan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Kabinet telah mengatur perancangan untuk mendapatkan tanah tambahan di Semenyih bagi tujuan berkenaan.
“Penyediaan kawasan perkuburan baharu itu turut dikaitkan dengan proses pembinaan sebuah jalan yang dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang sangat serius di Semenyih ketika ini.
“Selepas tapak perkuburan Islam itu siap sepenuhnya, ia akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk urusan pengendalian,” kata Hannah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Cheras di sini pada Rabu.
Mengulas dakwaan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Hannah berkata, perkara itu adalah keputusan rasmi di peringkat Kabinet.
Beliau mengingatkan bahawa menteri daripada UMNO turut menganggotai Kabinet dan berkata, adalah lebih baik isu itu dirujuk kepada mereka berbanding mempolitikkannya sebagai isu perkauman atau mengaitkannya dengan DAP.
“Jangan mempolitikkan keperluan hidup dan mati rakyat tanpa mengira agama, lebih-lebih lagi ketika ini sedang musim Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Fokus kerajaan ketika ini ialah menjaga kebajikan seluruh rakyat menerusi pelbagai program reformasi di Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hannah turut mengulas laporan sebuah media tempatan berhubung pengurusan kawasan hijau di ibu negara.
Beliau berkata, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi mewartakan kawasan hijau untuk mengelakkan berlakunya aktiviti luar yang tidak dibenarkan di kawasan berkenaan.
“Dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, pasukan petugas itu berjaya mewartakan lebih daripada 400 taman di sekitar Kuala Lumpur.
“Usaha itu dilaksanakan secara telus dengan kerjasama rapat masyarakat sivil bagi memastikan pengurusan tanah lapang di ibu negara dapat dipelihara dengan lebih cekap,” tambahnya.



