Thailand bertungkus lumus bendung kebocoran minyak di pantai timur

BANGKOK: Beberapa buah kapal di Thailand dikerah semula untuk mengawal tumpahan minyak mentah di pantai timur, kata pihak berkuasa.

Ini adalah kebocoran saluran paip minyak dasar laut yang kedua selepas kebocoran seumpamanya berlaku di kawasan yang dua minggu lalu, sama mengakibatkan kerosakan hidupan pantai dan marin.

Pada 26 Januari lalu, paip dimiliki Star Petroleum Refining Public Company (SPRC) mengalami kebocoran minyak dianggarkan 47,100 hingga 55,000 liter.

Ia dapat diserap dalam masa sehari tetapi tidak sebelum ia merosakkan kawasan pantai di wilayah Rayong dan mengancam batu karang di perairan cetek.

Semalam, saluran paip yang sama menyebabkan 5,000 liter lagi tumpahan minyak dan punca kebocoran sedang disiasat, kata Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran, Attapon Charoenchansa, kepada pemberita.

Timbalan Gabenor wilayah Rayong, Pirun Hemmarak, berkata tumpahan terbaru itu tidak mungkin sampai ke pantai, memandangkan kini kawasan terbabit sedang berdepan fenomena air pasang.

SPRC memberitahu ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membendung tumpahan minyak berkenaan.

Kawasan pantai timur adalah lokasi bagi beberapa destinasi pantai yang popular dalam kalangan pelancong asing.

Tumpahan itu berlaku ketika Thailand baru-baru ini melihat peningkatan yang stabil jumlah pelawat berikutan kelonggaran sekatan kemasukan ke negara itu dan kuarantin akibat ancaman pandemik COVID-19. – REUTERS

© New Straits Times Press (M) Bhd