BANGKOK – Thailand merancang mengemukakan projek mega jambatan darat bernilai kira-kira 1 trilion baht (RM122.5 bilion) kepada Kabinet pada Jun depan bagi memanfaatkan penutupan Selat Hormuz.
Memetik laporan Khaosod, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, projek itu akan menghubungkan pelabuhan di Laut Andaman dan Teluk Thailand, sekali gus mewujudkan laluan pemindahan kargo antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
Menurutnya, cadangan tersebut selari dengan pendirian Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul yang menyokong pelaksanaan projek berkenaan.
Mengulas kritikan bahawa pemindahan kargo antara pelabuhan boleh melambatkan penghantaran, beliau menjelaskan lebih 90 peratus penghantaran kontena global melibatkan proses pemindahan kargo, bukannya penghantaran terus.
“Jika kargo dipindahkan di Thailand, ia juga perlu dipindahkan di lokasi lain seperti Singapore,” ujarnya.
Phiphat berkata, kajian kebolehlaksanaan oleh agensi berkaitan telah siap dan beliau dijadualkan melakukan lawatan tapak pada Mei ini.
Menurutnya, projek berkenaan akan dibuka kepada pelabur tempatan dan asing secara sama rata, dengan sasaran pembinaan boleh dimulakan seawal tahun ini tertakluk kepada kelulusan Kabinet antara Jun hingga Julai.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan menyalurkan dana secara langsung, sebaliknya menawarkan konsesi tanah kepada pelabur swasta.
Dalam masa sama, penilaian impak alam sekitar dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menangani kebimbangan komuniti setempat.
Kerajaan juga akan mempergiat libat urus dengan penduduk bagi menjelaskan manfaat projek tersebut serta menangani bantahan yang timbul.
Thailand menyasarkan pembukaan pelaburan projek itu pada suku ketiga tahun 2026.



