BANGKOK – Kerajaan Thailand mengumumkan ia akan meneruskan rancangan membina ‘jambatan darat’ di selatan negara itu yang akan mewujudkan laluan penghubung antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik tanpa melalui Selat Melaka.
Timbalan Perdana Menteri, Phiphat Ratchakitprakarn yang mengawasi Kementerian Pengangkutan memberitahu penutupan Selat Hormuz ketika ini menunjukkan kepentingan strategik laluan perkapalan utama.
“Kerajaan kini akan mempercepat usaha membangunkan projek bernilai 1 trilion baht (RM122.3 bilion) itu. Konflik di Asia Barat telah menunjukkan kelebihan mengawal laluan pengangkutan. Thailand akan mempunyai kelebihan dengan mengendalikan sambungan antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi,” ujarnya.
Projek mega itu akan membina laluan perdagangan merentasi bahagian sempit di bahagian selatan yang memisahkan Teluk Thailand dan Laut Andaman.
Tujuannya adalah untuk mewujudkan alternatif kepada Selat Melaka yang sesak, sekali gus memendekkan tempoh penghantaran kira-kira empat hari di samping mengurangkan kos sebanyak 15 peratus.
Secara khusus, projek itu melibatkan pembinaan pelabuhan laut dalam di wilayah Ranong dan Chumphon serta jalan raya dan landasan kereta api sepanjang 90 kilometer yang menghubungkan kedua-duanya.
Bagi merealisasikan ‘laluan pintas’ itu, kerajaan perlu meluluskan undang-undang khas dan Kabinet dijangka meluluskan draf rang undang-undang (RUU) tersebut pada akhir tahun ini.
Pembinaannya dijangka siap menjelang 2039 berdasarkan penyelidikan kerajaan yang turut meramalkan projek tersebut akan memberi pulangan dalam tempoh 24 tahun dengan hasil 58 bilion baht (RM7.09 bilion) pada tahun pertama terutamanya daripada jualan bahan api kepada kapal kargo.

Laluan alternatif itu dijangka dapat memendekkan tempoh penghantaran kira-kira empat hari di samping mengurangkan kos sebanyak 15 peratus. – Foto Agensi
Cabaran logistik
‘Jambatan darat’ itu merupakan kesinambungan daripada idea lama untuk mewujudkan laluan perdagangan merentasi Semenanjung Kra.
Suatu ketika dahulu, ia pernah dicadangkan sebagai terusan sejak zaman pemerintahan Raja Rama I pada akhir abad ke-18. Pada era moden, projek itu dibangkitkan semula dan beberapa kerajaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan termasuk di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha pada 2018.
Bagi ahli politik Thailand, ‘jambatan darat’ itu sering dianggap sebagai penyelesaian kepada cabaran ekonomi negara.
Namun, skala dan kos projek yang sangat besar serta pergolakan di wilayah selatan telah menjadi penghalang utama.
Berbeza dengan terusan, pengkritik berpendapat bahawa ‘jambatan darat’ memerlukan barangan dipindahkan dari kapal ke pelabuhan, kemudian ke trak atau kereta api dan diangkut semula ke kapal di pelabuhan lain.
Menurut Bangkok Post, masalah logistik menyebabkan projek itu tidak akan mampu menandingi kecekapan Pelabuhan Tuas Singapura yang bakal menjadi hab perkapalan automatik terbesar di dunia.
Pakar alam sekitar turut memberi amaran bahawa projek itu boleh menyebabkan kerugian sekitar 1 bilion baht (RM122.3 juta) setahun kepada industri perikanan dan mengancam enam tapak Warisan Dunia UNESCO di sepanjang laluan yang dicadangkan, sekali gus memberi risiko kepada sektor pelancongan di selatan Thailand. – Agensi



