“Thanks layan anak2..” – Dah jumpa pengganti? Ramai doakan jodoh Intan Saleh

Tindakan bekas isteri pemuzik bebas Ude Wahid, Intan Saleh memuat naik satu video TikTok memaparkan kelibat seorang pemuda di laman Instagram mengundang perhatian pengikutnya.

Menerusi posting tersebut, wanita berusia 36 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada pemuda terbabit kerana sudi melayan anak-anaknya Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri yang berusia tiga tahun.

“You!!! Thanks layan anak-anak. Happy weekend,” tulisnya ringkas berserta emoji hati berwarna hijau.

Rakaman berdurasi 18 saat itu memperlihatkan kompilasi foto dan video mereka di sebuah taman rekreasi dipercayai pada Jumaat lalu serta tampak mesra merakam momen bersama dua kanak-kanak berkenaan.

Video tersebut meraih 127,660 tontonan dan dipenuhi lebih 1,000 komen daripada segelintir artis dan pengikutnya dimana rata-rata mula mengusik Intan mengenai jodoh.

Selain tumpang gembira, ada juga individu ‘merestui’ sekiranya pasangan itu menjalin hubungan cinta dengan menyifatkan Intan layak mengecapi kebahagiaan bersama orang baharu dalam kehidupannya.

Pada Disember 2017, industri hiburan digemparkan mengenai pendedahan Intan berhubung bekas suaminya yang berkahwin dengan seorang aktres dalam satu perkahwinan tertutup sekitar Ogos tahun sama.

Bagaimanapun, rumah tangga Intan dan Ude atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Abdul Wahid berakhir dengan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 22 Mac 2018.

Sumber: Instagram Intan Saleh