Setiap hari, kita dikejutkan dengan pelbagai laporan mengenai kes buli yang semakin berleluasa, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga di platform media sosial.
Situasi ini semakin membimbangkan apabila ada mangsa yang mengambil keputusan drastik akibat tekanan yang dialami.
Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS): Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) 2022, satu daripada lima remaja di Malaysia telah terlibat dalam perbuatan membuli atau mengganggu individu lain melalui Internet, telefon bimbit, atau peranti elektronik, menurut laporan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan peningkatan ketara dalam kes buli di sekolah, dengan 4,994 kes direkodkan setakat Oktober 2023. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding 3,887 kes pada tahun 2022 dan hanya 326 kes pada tahun 2021.
Prihatin dengan isu ini, The Vocket telah melancarkan kempen ‘Jadi Buddy, Bukan Buli’, sebagai satu usaha menyediakan platform selamat untuk mangsa buli.
Kempen ini berfokus kepada menyediakan ruang bagi mangsa buli untuk berkongsi pengalaman mereka secara rahsia dan tanpa pendedahan identiti.
“Salah satu inisiatif utama dalam kempen ini adalah kotak luahan hati yang boleh diakses menerusi laman sesawang www.thevocket.com/jadibuddybukanbuli. Di sini, mangsa buli boleh berkongsi kisah mereka secara anonim,” kata Pengurus Kempen, Aiman Nazirmuddin.
Tambahnya, perkataan ‘buddy’ yang bermaksud rakan atau teman menggambarkan sokongan yang ingin diberikan kepada mangsa buli melalui kempen ini.
Antara kandungan yang diketengahkan sepanjang kempen termasuk siri Voccast di YouTube, sesi bual bicara bersama panelis profesional serta individu yang pernah menjadi mangsa buli.
Selain itu, kandungan media sosial seperti ‘Vocket Tanya Random’ akan menampilkan temu bual bersama orang awam, di samping artikel berkaitan buli di laman web The Vocket.
Matlamat utama kempen ini bukan sekadar menjadi platform luahan perasaan, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan buruk buli dan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu ini.
Kerjasama Bersama NGO
Dalam menjayakan kempen ini, The Vocket telah bekerjasama dengan Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai dan NGO Empati sebagai rakan strategik.
“Ini adalah langkah kecil tetapi bermakna dalam usaha menyokong mangsa buli dan mewujudkan persekitaran yang lebih empati serta selamat untuk semua,” kata Aiman.
Menurut Cik Sofiah Atiqah, Pakar Psikologi Klinikal dari Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, isu buli merupakan perkara yang serius dan masyarakat perlu memberi sokongan kepada mangsa.
“Di pusat kami, kami menyediakan perkhidmatan konsultasi dan terapi bagi membantu individu yang mengalami tekanan akibat buli. Mangsa buli bukan sahaja dalam kalangan remaja, tetapi juga orang dewasa yang mengalami tekanan emosi akibat gangguan mental dan bukan secara fizikal semata-mata,” jelasnya.
Sementara itu, pengasas NGO Empati, Syahida Zulkarnain, menyatakan bahawa kempen ini selari dengan matlamat organisasi mereka dalam membina sistem sokongan untuk golongan muda di Malaysia.
“Kami berharap dengan kerjasama ini, suara mangsa buli akan lebih didengar dan lebih ramai pihak tampil untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Sebagai rakan kolaborasi utama, Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai dan NGO Empati akan terus memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan psikologi serta mendidik masyarakat mengenai kesan buli.
Di samping itu, tanda pagar #JadiBuddyBukanBuli digunakan untuk meningkatkan interaksi dengan pengguna di media sosial. Jadi Buddy, Bukan Buli. Kawan Bukan Lawan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ini, layari laman sesawang rasmi di www.thevocket.com/jadibuddybukanbuli.




