Seattle: Ketua jurulatih Senegal, Pape Bouna Thiaw percaya anak buahnya mampu melupakan aksi hambar di peringkat kumpulan apabila berdepan Belgium pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi esok.
Thiaw menyifatkan saingan kalah mati sebagai ‘kejohanan baharu’ dan yakin peluang Senegal masih terbuka untuk melakar kejutan meskipun mara sebagai pasukan tempat ketiga terbaik.
“Kami perlu menang ketika menentang Iraq dan kami berjaya melakukannya untuk layak ke pusingan ini.
“Kini, satu kejohanan baharu bermula dan kami berazam memenangi perlawanan ini,” katanya.
Senegal mengharungi permulaan sukar apabila tewas dalam dua aksi pertama kepada Perancis dan Norway sambil melepaskan enam gol, sebelum bangkit membelasah Iraq 5-0 untuk layak ke pusingan kalah mati sebagai pasukan tempat ketiga kelapan terbaik, mengatasi Iran menerusi kelebihan perbezaan jaringan.
Menurut Thiaw, kedudukan selaku juara kumpulan bukan jaminan sesebuah pasukan mampu melangkah jauh dalam kejohanan.
“Ia saingan yang berbeza. Bukan kerana anda muncul juara kumpulan bermakna anda tidak boleh tersingkir,” katanya sambil merujuk penyingkiran Belanda kepada Maghribi menerusi penentuan penalti.
Thiaw mengakui Senegal mencipta beberapa peluang ketika menentang Perancis, namun kesilapan sendiri akhirnya mengundang kekalahan 3-1 sebelum sekali lagi dihukum apabila tewas 3-2 kepada Norway.
Beliau bagaimanapun menegaskan kelemahan itu hanya bersifat individu dan bukannya berpunca daripada masalah besar dalam pasukan.
“Gol yang kami bolosi banyak berpunca daripada kesilapan individu. Apabila menentang pasukan seperti Perancis dan Norway, anda tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu.
“Kami sudah menilai dan memperbaiki aspek berkenaan menjelang perlawanan menentang Belgium,” katanya.
Senegal bagaimanapun tidak dapat menurunkan penjaga gol utama, Edouard Mendy, yang masih dibelenggu kecederaan selepas aksi menentang Norway.
Thiaw berkata, Mendy kembali ke kelabnya, Al-Ahli, untuk menjalani rawatan sebelum menyertai semula kem latihan Senegal, namun penjaga gol berusia 34 tahun itu belum bersedia untuk diturunkan menentang Belgium.
“Kami gembira dia kembali bersama pasukan dan berharap dia dapat membantu kami sepanjang baki kejohanan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




