ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Hoki Terengganu (THT) melaungkan amaran awal bagi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2025 apabila berjaya merampas Piala Sumbangsih daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas menang 2-1 dalam aksi pembuka tirai di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Aksi pada suku pertama berlangsung dengan rancak selepas kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan THT mempunyai peluang melalui empat pukulan sudut penalti, manakala TNB mampu memperoleh jaringan padang sebanyak dua kali.
Pada minit keempat, pukulan Azrai Aizad Abu Kamal dari sebelah kanan kubu THT tersasar, manakala empat pukulan sudut penalti Faizal Saari pula gagal menemui sasaran.
Hujung saingan suku pertama percubaan Azrai Aizad pula hanya mengenai tiang gol menyaksikan kedua-dua pasukan terikat sebelum aksi suku kedua bersambung.
TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin akhirnya berjaya berada di depan pada minit ke-27 melalui penalti stroke pemain import, Jang Jong Hyun selepas pertahanan THT, Syarman Mat Tee mengangkat kayu terlalu tinggi dalam kawasan D.
Tiga minit kemudian THT berjaya menyamakan kedudukan apabila Faizal akhirnya berjaya menyempurnakan tugas dalam situasi pukulan sudut penalti selepas gagal lima kali berturut-turut.
Pasukan bimbingan Harfizi Baharom berada di depan buat kali pertama apabila bekas pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-37.
Usaha TNB untuk mencari jaringan penyamaan pada suku terakhir melalui serangan bertali-arus tidak kesampaian dan THT pula gagal menambah gol ketiga apabila penalti stroke yang diambil Lee Nam Yong diselamatkan penjaga gol, Hairi Abdul Rahman.
Sementara itu dalam saingan wanita, Blue Warriors (PDRM) berjaya menumpaskan penyandang trofi tahun lalu Malaysian University (MU) hasil gol tunggal Hanis Nadiah Onn pada minit ke-17.
© New Straits Times Press (M) Bhd




