Tiada bukti kukuh KRI Nanggala 402 tenggelam, kata angkatan laut Indonesia

Kapal selam KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada pukul 4.25 pagi kelmarin ketika sedang dalam misi latihan melakukan tembakan torpedo. (Gambar AP)

JAKARTA: Sehingga kini masih tiada bukti kukuh menunjukkan kapal selam KRI Nanggala 402 tenggelam selepas terputus hubungan kelmarin, kata Angkatan Tentera Laut Indonesia.

Ketua Staf Angkatan Laut (KSAL), Yudo Margono berkata, sehingga kini kapal selam yang membawa 53 kru itu masih belum ditemukan pasukan mencari dan menyelamat selain tiada sahih menunjukkannya tenggelam, menurut laporan Kompas.com.

“Pasukan penyelamat masih melakukan operasi mencari serta menyelamat KRI Nanggala 402 secara intensif dan diharapkan dapat mengesan lokasi kapal selam itu sebelum esok (Sabtu).

“Sehingga kini, belum ada bukti yang menunjukkan kapal selam itu sudah tenggelam, maka Tentera Nasional Indonesia (TNI) tidak akan membuat kesimpulan mengenai keadaan Nanggala 402,” katanya.

Selain itu, Yudo menjelaskan kapal selam itu sepatutnya timbul semula ke permukaan pada pukul 5.15 pagi waktu tempatan selepas selesai menjalani latihan kelmarin.

Katanya, sebelum terputus hubungan, pasukan ‘sea rider’ masih dapat berkomunikasi dengan kapal selam itu selama satu jam.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada pukul 4.25 pagi kelmarin ketika sedang dalam misi latihan melakukan tembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI lain bersama-sama lima pesawat tempur serta sebuah lagi kapal selam.

Operasi pencarian kapal selam hilang yang membawa 53 kru di perairan Utara Bali itu jarang berlaku dalam sejarah ketenteraan negara dan ia turut dibantu Singapura, Malaysia dan Australia.