Tiada bukti sahih dakwaan Malaysia antara 5 negara tertinggi populasi transgender – Mohd Na'im

Tiada bukti sahih dakwaan Malaysia antara 5 negara tertinggi populasi transgender – Mohd Na'im

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dakwaan bahawa Malaysia tersenarai antara lima negara tertinggi di Asia yang mempunyai populasi transgender tidak dapat disahkan berikutan kekurangan data komprehensif mengenai komuniti berkenaan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, setakat ini penyelidikan berhubung golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia masih sangat terhad dan belum menyediakan data tepat berkaitan jumlah populasi mereka.

“Sehubungan itu, laporan yang mendakwa Malaysia antara lima negara tertinggi di Asia memiliki populasi transgender seperti dilaporkan media digital tidak dapat disahkan kesahihannya,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kebenaran berhubung dakwaan Malaysia tersenarai sebagai antara lima negara tertinggi di benua Asia yang mempunyai populasi transgender dan tindakan susulan kerajaan.

Mohd Na’im berkata, kerajaan berpendirian tegas dengan tidak mengiktiraf golongan LGBT selaku negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan menerapkan nilai moral berlandaskan adat, budaya serta agama dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sudah mengambil inisiatif mendekati kelompok homoseksual atau LGBT Muslim sebagai salah satu langkah intervensi kerajaan bagi membendung perkembangan kelompok itu.

“Antara langkah dan tindakan yang sudah diambil oleh JAKIM dalam menangani isu transgender dan kelompok LGBT ini adalah penubuhan jawatankuasa khas berkenaan isu LGBT beragama Islam di Malaysia dan Pembangunan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019 sehingga 2025.

“Ini termasuk penubuhan Pusat Khidmat Keluarga dan Sosial Komuniti (PKKSK), pelaksanaan program pendidikan dan advokasi serta peruntukan Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa isu LGBT memerlukan perhatian dan kerjasama daripada semua pihak untuk saling membantu antara satu sama lain.

Katanya, tujuan JAKIM mendekati kelompok LGBT ini adalah untuk membimbing golongan berkenaan ke arah jalan hidup Islam sebenar melalui pelbagai inisiatif yang sudah dirancang.

“Bermula dengan Program Mukhayyam dan kini, Kem Bimbingan Spiritual (KBS) diadakan secara berkala sebanyak tiga kali setahun.

“Program ini memberikan pendedahan dan kefahaman mengenai konsep akidah, fardu ain, kesihatan dan motivasi diri.

“Pelbagai program turut diadakan dengan kerjasama JAIN, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) merangkumi kesedaran kesihatan mental, bahaya HIV/AIDS dan sebagainya.

“Kesimpulannya, perlakuan LGBT adalah bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia. Bukan itu sahaja, malah perbuatan homoseksual adalah bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top