suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ramai rakyat Malaysia sebenarnya mahu menyambung pengajian, namun terpaksa melupakan impian itu kerana pelbagai kekangan hidup.
Komitmen kerja, kekurangan masa dan tanggungjawab terhadap keluarga antara penghalang untuk mereka kembali belajar. Akhirnya, hasrat memiliki segulung ijazah hanya tinggal impian yang tertangguh.
Namun, bagi mereka yang tidak pernah mengalah, impian itu masih mampu direalisasikan.
Hari ini, 9 hingga 12 Mei menjadi detik paling bersejarah buat 7,030 jiwa cekal yang berjaya membuktikan bahawa tiada istilah ‘terlambat’ dalam kamus hidup mereka dalam mengejar pendidikan.
Dengan semangat pantang menyerah, mereka kini layak diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-30 Open University Malaysia (OUM).
Majlis graduasi itu bukan sekadar ucapan tahunan untuk menyerahkan skrol semata-mata sebaliknya satu manifestasi kejayaan buat OUM yang kini genap 26 tahun menerajui agenda pendidikan terbuka dan jarak jauh (ODL).
Sepanjang lebih dua dekad, universiti ini sudah membuktikan komitmennya dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau had usia.
Legasi Tokoh Korporat Teraju Kecemerlangan
Konvokesyen kali ini turut mencuri perhatian apabila tokoh korporat terkenal tanah air, Tan Sri Azman Hashim dimasyhurkan sebagai Canselor baharu OUM yang baharu sekali gus membawa harapan besar buat masa depan iniversiti itu.
Pelantikan tokoh berwibawa ini dilihat sebagai kesinambungan penting dalam usaha memperkukuh OUM untuk terus mendemokrasikan pendidikan di negara ini, apatah lagi beliau sebelum ini sudah hampir dua dekad berkhidmat sebagai Pro-Canselor OUM.
Dalam masa sama, kredibiliti OUM sebagai institusi pilihan rakyat terus diperkukuh apabila universiti itu merangkul Anugerah Putra Brand 2025 (Emas) bagi kategori Pendidikan dan Pembelajaran pada awal Januari lalu.
Pengiktirafan berprestij itu juga cukup bermakna kerana ia adalah anugerah berdasarkan pilihan secara langsung oleh pengguna, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap jenama OUM.
Presiden dan Naib Canselor OUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Izanee Awang menegaskan, konvokesyen ke-30 ini membuktikan program yang ditawarkan mendapat sambutan baik daripada warga kerja pelbagai latar belakang.
“OUM menawarkan lebih 60 program yang mendapat akreditasi MQA serta mempunyai rangkaian 35 pusat pembelajaran di seluruh negara, selain melahirkan hampir 140,000 graduan setakat ini.
“Kejayaan OUM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing disokong oleh lima fakulti utama yang memenuhi keperluan industri masa kini.
“Ini termasuklah Fakulti Perniagaan & Pengurusan; Pendidikan, Teknologi & Sains Gunaan; Sains Sosial & Kemanusiaan dan Pengkomputeran & Analitik,” katanya.
Kisah Inspirasi Tokoh-Tokoh Perniagaan
Pentas konvokesyen OUM kali ini turut diwarnai dengan pelbagai kisah air mata dan keringat yang akhirnya membuahkan hasil.
Antaranya adalah pencapaian Datuk Ong Kee Seng, pemilik kelab menembak terbesar di Asia Tenggara yang berjaya meraih Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pentadbiran Perniagaan.
Beliau membuktikan bahawa pangkat dan kekayaan bukan alasan untuk berhenti belajar.
Malah, kajian penyelidikan yang dilakukan beliau kini digunakan secara langsung untuk menambah baik operasi perniagaan, khususnya dalam memahami keperluan pelanggan.
Selain itu, sejarah turut tercipta menerusi graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, Datuk Dr Mohd Jafri Abd Razak.
Menariknya, beliau juga adalah graduan ijazah kedoktoran pertama melalui laluan APEL.Q iaitu satu mod pengajian yang mengiktiraf pengalaman kerja bertahun-tahun melalui penilaian yang sangat ketat.
OUM juga tidak hanya terhad di dalam negara. Walaupun berpangkalan di Malaysia, universiti ini kini mempunyai jaringan di 16 negara.
Terbaharu, pembukaan Pusat Antarabangsa OUM di Astana, ibu negara Kazakhstan, membuka peluang kepada pelajar Asia Tengah mengikuti program OUM.
Suri Rumah, Pasangan Suami Isteri Bukti Fleksibiliti
Keunikan OUM juga terletak pada sistem pembelajarannya yang sangat fleksibel, menggunakan sistem e-tutorial dan modul digital canggih.
Tahun ini, program Diploma Lepasan Ijazah Dalam Pengajaran mencatatkan jumlah graduan tertinggi iaitu sekitar 4,000 orang.
Antara yang mencuri tumpuan ialah pasangan suami isteri, Muhammad Naqiuddin Omar dan Yang Subaidah Abdullah.
Walaupun terpaksa bergelut dengan cabaran menyambut kelahiran cahaya mata pada semester ketiga, mereka tetap berjaya menamatkan pengajian.
Mengenang kepayahan itu, pasangan ini berkongsi rasa syukur mereka.
“Kami memang rasa tertekan, terutama selepas kelahiran anak kami.
“Tetapi fleksibiliti OUM membuatkan kami tidak perlu memilih antara keluarga dan masa depan,” katanya.
Bagi Chin Li San pula, yang dulunya seorang suri rumah selama 16 tahun, OUM menjadi titik mula untuk kembali bekerja melalui program Sarjana Kaunseling.
“Pengalaman pembelajaran yang praktikal serta bimbingan pensyarah adalah faktor utama kejayaan saya,” katanya.
Pendidikan Ikut Gaya Hidup
Pendekatan OUM cukup mudah iaitu pembelajaran perlu disesuaikan dengan kehidupan dan fleksibel.
Hasilnya, peluang untuk belajar kini lebih terbuka kepada semua tanpa mengira sempadan umur, masa dan lokasi.
Ketika ini, OUM menawarkan lebih 60 program dengan akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta mempunyai 35 pusat pembelajaran di seluruh negara dan jaringan antarabangsa di 16 negara termasuk Kazakhstan.
Sehingga kini, hampir 140,000 graduan berjaya dilahirkan, manakala kira-kira 40,000 pelajar aktif mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Bagi mereka yang masih menyimpan impian untuk menyambung pengajian, OUM membuktikan bahawa peluang itu sentiasa terbuka kepada sesiapa yang mahu mengubah masa depan melalui pendidikan.
Untuk maklumat lanjut, hubungi OUM di talian 03-7801 2000, e-mel enquiries@oum.edu.my atau layari layari www.oum.edu.my. Genggam impian anda sekarang!
© New Straits Times Press (M) Bhd



