'Tiada mangsa buat laporan, kesan kandungan terlarang khususnya dadah dalam gula-gula tular' – Polis

'Tiada mangsa buat laporan, kesan kandungan terlarang khususnya dadah dalam gula-gula tular' – Polis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada sebarang laporan atau aduan diterima polis berhubung dakwaan penjualan gula-gula dipercayai mengandungi bahan terlarang di pasar raya seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiada mangsa tampil membuat laporan atau mengesan kandungan terlarang khususnya dadah dalam gula-gula yang terdapat di pasaran, setakat ini.

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kimia Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memantau serta menyiasat sebarang isu berkaitan dalam memastikan keselamatan pengguna.

“Sekiranya terdapat sebarang perkara yang perlu diketahui oleh orang ramai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memaklumkannya melalui saluran media rasmi,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung perkara itu tidak boleh dianggap benar selagi ia belum dibuktikan dan disahkan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau dan menjalankan siasatan terhadap sebarang maklumat diterima bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atau sumber yang tidak sahih di media sosial.

Terdahulu, gambar gula-gula yang didakwa dijual di sebuah pasar raya mengandungi bahan yang didakwa boleh menyebabkan kanak-kanak dan orang dewasa hilang fokus serta lupa tular di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top