Van Dijk bidas pelaksanaan rehat minum

Van Dijk bidas pelaksanaan rehat minum

Arlington: Kapten Belanda, Virgil van Dijk, mengkritik pelaksanaan rehat minum mandatori dalam setiap perlawanan Piala Dunia 2026 dengan menyifatkan ia mengganggu rentak permainan dan pengalaman penonton.

Pertahanan Liverpool itu meluahkan pandangannya selepas Belanda seri 2-2 dengan Jepun dalam aksi Kumpulan F, semalam.

“Rehat minum ini sesuatu yang menarik. Setiap kali permainan dihentikan untuk siaran iklan, ia bukan sesuatu yang saya gemari.

“Saya rasa bagi penonton neutral di televisyen, ia juga tidak begitu bagus,” kata Van Dijk.

Pelaksanaan rehat minum wajib oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerima kritikan kerana turut digunakan dalam perlawanan yang berlangsung di stadium tertutup dengan suhu terkawal.

Dalam aksi di Arlington, Texas itu, rehat minum babak kedua dilakukan walaupun perlawanan berlangsung di stadium berbumbung.

Belanda mendahului 2-1 hasil jaringan Crysencio Summerville pada minit ke-64, beberapa minit sebelum rehat minum kedua diadakan.

Selepas permainan disambung, kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol selama hampir 20 minit sebelum Jepun menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

Van Dijk yang turut menjaringkan gol dalam perlawanan itu bagaimanapun tidak menolak kepentingan rehat minum ketika cuaca panas.

“Jika cuaca benar-benar panas, sudah tentu ia bagus untuk diadakan.

“Saya rasa setiap perlawanan perlu dinilai secara berasingan.

“Tetapi saya rasa saya sudah bercakap cukup banyak mengenainya,” katanya.

Rehat minum diperkenalkan bagi memastikan kebajikan pemain terpelihara ketika beraksi dalam keadaan cuaca panas, namun pengkritik berpendapat ia turut memberi ruang tambahan kepada penyiar untuk menayangkan iklan sepanjang siaran langsung pertandingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top