Tiada masa berpolitik – Nancy – Utusan Digital

Tiada masa berpolitik – Nancy – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri menegaskan, tiada masa untuk berpolitik ketika ini, sebaliknya tanggungjawab pemimpin kerajaan adalah demi negara dan rakyat sebagai keutamaan.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha sedaya-upaya untuk memulihkan serta menyediakan negara ke arah pasca pandemik Covid-19.

Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) secara maya hari ini, beliau membentangkan kertas bertajuk Covid-19 Tourism Industry Remains in Dire Straits yang memberi gambaran keseluruhan industri pelancongan.

“Ini termasuk isu dan cabaran serta cadangan atau langkah dalam memulihkan semula industri pelancongan.

“Tiada masa untuk berpolitik. Tanggungjawab kita kepada negara dan keutamaan untuk rakyat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Batang Sadong yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dipercayai merujuk situasi politik ketika ini selepas dua menteri UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang meletak jawatan.

Keputusan itu dibuat sebagai menyokong tindakan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Scroll to Top