farahmarshita@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman menafikan dakwaan beliau membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan bagi menggugurkan namanya dalam tuntutan sivil oleh 1MDB.
Mohd Hazem menafikan perkara itu ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Bagaimanapun, ketika disoal peguam Muhammad Shafee sama ada namanya dan enam lain digugurkan daripada senarai asal 15 defendan dalam saman berkenaan, Mohd Hazem menjawab: “Ya.”
Pada 7 Mei lalu, 1MDB dan subsidarinya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Najib dan bekas Pengarah 1MDB, antaranya Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.
Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem, Azmi Tahir, Radhi Mohamad dan bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin serta Nik Faisal Ariff Kamil.
Muhammad Shafee kemudian bertanya sama ada beliau pernah melihat writ saman berkenaan, Mohd Hazem, menjawab: “Tidak.”
“Sehingga hari ini, saya masih menunggu untuk diserahkan writ saman, namun masih belum menerimanya,” katanya.
Mendengar perkara itu, Muhammad Shafee kemudian mengemukakan writ saman yang sudah dipinda dan menggugurkan nama beberapa individu termasuk Mohd Hazem daripada senarai asal 15 defendan.
Muhammad Shafee: Terdapat laporan akhbar menyatakan nama anda digugurkan sebagai defendan. Anda bersetuju, nama anda digugurkan?
Hazem: Ya, saya ada membaca laporan berkenaan.
Muhammad Shafee: Saya katakan anda ada berjumpa pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta memberitahu mereka perkara ini tidak boleh diteruskan (saman). Ini kerana anda sedang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dan pada masa sama, disaman atas dakwaan yang serius.
Mohd Hazem: Tidak setuju.
Muhammad Shafee: Saya katakan anda diberi jaminan nama anda akan digugurkan daripada saman berkenaan?
Mohd Hazem: Tidak setuju
Mohd Hazem bagaimanapun bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa mereka yang digugurkan daripada saman itu termasuk Shahrol Azral dan Azmi yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan, akan memberi keterangan pada perbicaraan itu.
Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




