Tiada rundingan tukar kerajaan, BN kekal dengan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

Tiada rundingan tukar kerajaan, BN kekal dengan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

Tiada sebarang perbincangan atau rundingan dibuat bagi membolehkan berlaku pertukaran kerajaan, malah pentadbiran sedia ada akan terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Memetik laporan Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dakwaan mengenai usaha menukar kerajaan adalah tidak benar, selain menafikan wujud pertemuan antara pimpinan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang tersebar.

Pengerusi BN itu berkata, pendirian parti tersebut kekal menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga PRU16 berdasarkan keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Tak ada, tak tahu. Saya tak tahu-menahu hal tu. Saya periksa dengan Menteri Dalam Negeri pun, mengikut sumber pun tak ada, tak tahu, tak ada,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104, semalam.

Sebelum itu, media sosial hangat dengan dakwaan kononnya pemimpin BN, PN, GPS dan GRS akan mengadakan sidang media pada pukul 2 petang semalam bagi mengumumkan perkembangan berkaitan kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, maklumat berkenaan hanya bersandarkan sumber tanpa menjelaskan tujuan sebenar sidang media tersebut, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya perubahan dalam landskap politik negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, keputusan BN untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan selari dengan resolusi yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO dan perkara itu tidak pernah berubah.

“Itu pendirian dan resolusi kita yang kita bawa ke Perhimpunan Agung (UMNO). Tidak ada badan lebih tinggi daripada Perhimpunan Agung dan kita sangat menghormati keputusan itu,” jelasnya.

Menurutnya, resolusi yang diputuskan Perhimpunan Agung UMNO menjadi rujukan utama kepada kepimpinan parti dalam menentukan hala tuju politik, termasuk sebarang tindakan pada masa akan datang.

Justeru, Ahmad Zahid meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin atau spekulasi yang tersebar di media sosial.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak terjejas dan meminta semua pihak supaya tidak bimbang dengan dakwaan yang tidak berasas.

“Jadi, kita harap janganlah risau,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan dakwaan berhubung pertemuan antara pemimpin PN dengan pimpinan parti lain termasuk BN.

Beliau berkata, perkara tersebut tidak diketahuinya dan menolak dakwaan berkenaan.

“Tidak betul. Tiada pertemuan,” tegasnya lagi.

Artikel lain: Rakyat Negeri Sembilan terlalu rindu nak BN kembali memerintah – Ahmad Zahid

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus mentadbir sehingga pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU16 diadakan.

Katanya, walaupun BN menjalinkan kerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, perkara itu tidak memberi kesan terhadap kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Asyraf Wajdi berkata, selagi kerajaan mematuhi perjanjian yang dipersetujui, tidak timbul isu menyerang mana-mana pihak secara peribadi di peringkat Persekutuan, sambil mempersoalkan beberapa serangan yang berlaku sepanjang kempen PRN Johor.

Sumber: Utusan Malaysia (Aslinda Nasir dan Mohd Husni Mohd Noor)

Scroll to Top