Tiada salah laku polis ketika tangkap dua lelaki positif dadah

Tiada salah laku polis ketika tangkap dua lelaki positif dadah

am@hmetro.com.my

Pekan: Tiada salah laku dilakukan oleh anggota polis ketika menahan dua buruh dalam sekatan jalan raya Ops Cegah Jenayah sempena Ambang Tahun Baharu di Kilometer 2, Jalan Kuantan-Pekan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian jam 9.40 malam itu, kereta Perodua Axia dinaiki kedua-dua lelaki itu ditahan dan mereka dibawa untuk melakukan ujian saringan air kencing.

Katanya, ketika itu, mereka cuba meloloskan diri untuk masuk ke kereta dengan menolak beberapa anggota polis sehingga berlaku pergelutan.

“Akibat pergelutan itu, dua anggota polis terjatuh dan cedera ringan.

“Kedua-duanya dapat ditangkap dengan menggunakan kekerasan minimum dan tiada salah laku dilakukan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap dua suspek berusia 20 dan 31 tahun terbabit disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Saya menasihati orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menularkan penugasan yang dilakukan polis dengan tujuan negatif.

“Masyarakat juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas insiden itu yang boleh mencemar imej Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top