London: Dominik Szoboszlai berkata apa yang dilakukan oleh Arne Slot di Liverpool ketika ini adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh mana-mana pihak.
Dalam temu bual dengan laman rasmi Liga Perdana Inggeris (EPL), pemain antarabangsa Hungary itu menyatakan bekas pengurus Feyenoord berusia 44 tahun itu menunjukkan prestasi cukup cemerlang setakat ini.
Liverpool kini memasuki tahun 2025 dengan muncul pendahulu di EPL dan Liga Juara-Juara, satu pencapaian luar biasa memandangkan Slot hanya melakukan satu pembelian tetap musim panas lalu, iaitu Federico Chiesa.
Terbaru di bawah bimbingan Slot, Liverpool menewaskan Tottenham 6-3 di tempat lawan.
Szoboszlai memuji Slot atas pencapaiannya di Liverpool, dengan berkata: “Lebih menyeronokkan bermain dalam perlawanan itu daripada hanya menonton.
“Penyokong datang ke stadium dan melihat sembilan gol (ketika bertemu Tottenham), dan kami meraih tiga mata penuh.
“Semua orang mengimpikan situasi seperti ini, tetapi kami telah menyaksikan banyak kali pasukan ini berada di hadapan pasukan lain.
“Masih ada enam bulan lagi. Kami mahu terus mendahului sejauh yang kami mampu. Tiada siapa menjangka Slot akan bermula dengan begitu baik, tetapi dia percaya pada pasukan, dan kami juga percaya kepadanya.”
Enam bulan pertama Slot di Liverpool boleh dikatakan sempurna, dengan pasukan The Reds berada di kedudukan terbaik untuk memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan juga Piala Liga.
Namun, menjelang 2025, pengurus dari Belanda itu menyedari bahawa masih banyak yang boleh diperbaiki di Anfield.
Mohamed Salah, selepas perlawanan menentang Tottenham berkata, Liverpool perlu memperbaiki aspek pertahanan jika benar-benar mahu menamatkan musim dengan cemerlang dalam Liga Perdana.
Slot dijangka akan mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan untuk melakukan apa sahaja keputusan pada jendela perpindahan Januari ini.
Membuat pembelian yang tepat dan menyelesaikan kontrak barisan pemain utama akan menjadi keutamaan Slot dalam senarai tugasan di Liverpool pada 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd

