'Tiada siapa paksa saya pilih PKR, ini keputusan peribadi – Tengku Zafrul

'Tiada siapa paksa saya pilih PKR, ini keputusan peribadi – Tengku Zafrul

Sepang: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangannya dalam Umno, namun mengesahkan tekadnya untuk berhijrah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR diambil hasil pertimbangan mendalam dan sepenuhnya yang datang daripada dirinya sendiri, tanpa dipaksa atau dipengaruhi mana-mana pihak.

“Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam.

“Saya menghargai mereka yang memahami hak saya sebagai individu dalam memilih hala tuju politik saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) serta rakan-rakan dan ahli-ahli Umno yang banyak membantu, memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam Umno,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Beliau turut memohon agar diberikan ruang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rukun Islam kelima itu bersama keluarganya, di samping memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan sepanjang hubungan persahabatan beliau dengan pelbagai pihak.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Tengku Zafrul turut ditanya mengenai desakan sesetengah pihak agar beliau meletakkan jawatan menteri memandangkan ia merupakan kuota Umno.

“Saya ingin memberi fokus kepada ibadah haji dan saya serahkan segala urusan itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Presiden Umno,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno bagi menyertai PKR.

Tindakannya itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang meminta agar kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan Tengku Zafrul dikembalikan kepada Umno kerana lantikan berkenaan dibuat atas kuota parti itu.

Ahmad Zahid hari ini mengesahkan bahawa Setiausaha Kerja Umno Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.

Namun begitu, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh hari ini berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti berkenaan.

Berita berkaitan:

Tengku Zafrul letak jawatan Umno, mohon sertai PKR

Sepatutnya letak jawatan menteri sekali – Dr Akmal Saleh

Umno belum terima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Zafrul

Mana ada terima permohonan rasmi Zafrul

Isu Tengku Zafrul: ‘PKR mesti diberi amaran’ – Mohd Puad

‘Saya minta Tengku Zafrul doakan saya kekal MB’ – Amirudin

Tindakan Tengku Zafrul cemarkan semangat setia kawan dalam Kerajaan Perpaduan – UMNO Selangor

Keputusan Tengku Zafrul bukan luar biasa, lumrah politik – Mohamad Hasan

Umno sudah terima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul, ia tindakan tidak beretika – Ahmad Zahid

Tengku Zafrul tak terikat Akta Lompat Parti – Johari

Isu Tengku Zafrul: ‘Rujuk presiden kamu dulu Dr Akmal’

Tengku Zafrul tak perlu bayar RM100 juta kerana keluar parti – Tok Mat

Tengku Zafrul sertai PKR, tak goyah Kerajaan Perpaduan – Teo Nie Ching

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top