am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemangku Sultan Johor menegaskan negeri itu tidak bertolak ansur dengan perlakuan tidak senonoh serta lucah seperti yang tular membabitkan Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi kelmarin.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, tindakan sudah diambil terhadap pihak yang terbabit.
“Action has been taken and the culprits have been arrested. Zero tolerance in Johor,” titah baginda dalam aplikasi X HRH Crown Prince of Johor, hari ini.
Sementara itu, pihak pengurusan Lotus Desaru Beach Resort & Spa (Lotus Desaru) memaklumkan pembabitan pihaknya dalam acara itu adalah terhad kepada penyediaan penginapan dan perkhidmatan makanan untuk peserta.
Dalam kenyataan, Lotus Desaru menjelaskan, acara berkenaan adalah larian amal yang disertai lebih daripada 2,000 peserta dari 42 negara, yang turut memupuk pembabitan komuniti dan meraikan semangat persahabatan antarabangsa.
“Semua aktiviti dan program lain diuruskan sepenuhnya oleh kumpulan Pan-Asian Hash (selaku penganjur).
“Kami memahami bahawa beberapa aspek acara ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti, (dan) sebagai penyedia perkhidmatan hospitaliti, fokus utama pihak hotel adalah untuk memberikan pengalaman berkualiti kepada tetamu,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak hotel tidak terbabit dalam perancangan atau pelaksanaan sebarang aktiviti yang tidak berkaitan dengan hospitaliti.
“Lotus Desaru berkomitmen untuk memupuk hubungan positif dengan komuniti tempatan dan akan memastikan bahawa acara-acara yang akan datang dilaksanakan dengan sensitiviti dan kesedaran yang lebih tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




