Tidak boleh pandang ringan kemampuan parti baharu Rafizi – Ilham Centre

Tidak boleh pandang ringan kemampuan parti baharu Rafizi – Ilham Centre

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh memandang ringan kemampuan parti baharu yang digerakkan Datuk Seri Rafizi Ramli.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, PH sebagai parti kerajaan ketika ini dilihat terlalu yakin dan selesa, sedangkan realiti politik semasa tidak begitu stabil.

Beliau memberi contoh krisis bahan api yang memberi kesan kurang popular kepada kerajaan, namun tindak balas yang diberikan dilihat agak defensif.

“Malah, kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini turut disifatkan agak emosional dan tidak menunjukkan ketenangan sebagai seorang pemimpin.

“Jika saya imbas kembali kesan pemilihan PKR 2025, apa yang berlaku di peringkat cabang boleh diibaratkan seperti ‘badan tanpa kepala’.

“Maksudnya, walaupun kem Rafizi menguasai kepimpinan tertentu, banyak ketua cabang dimenangi pihak lawan sehingga menyebabkan kekuatan jentera di peringkat bawah tidak seragam dan akhirnya berlaku ‘kerusi terbang’ seperti di Kuala Selangor.

“Jadi, fenomena ini menunjukkan PKR merupakan antara parti kerajaan yang paling tidak stabil, khususnya dalam menghadapi pilihan raya,” katanya ketika menjadi panel jemputan dalam program Interviu.

Program yang berlangsung pada Isnin di Studio F Karangkraf itu mengetengahkan tajuk ‘Kuasa Ketiga dan Langkah Rafizi’.

Sebelum ini, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti MU.

Penyerahan parti yang bakal diterajui kedua-dua bekas menteri itu dibuat dalam majlis pengumuman hala tuju politik mereka pada Ahad.

Secara tidak langsung, pengumuman tersebut menjawab persoalan mengenai hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi selepas didakwa ‘disisihkan’ daripada PKR sejak setahun lalu.

Untuk rekod, Parti MU merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di George Town oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.

Tambah Hisommudin, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau melihat PKR perlu menilai semula sasaran yang ingin dicapai memandangkan parti itu sebelum ini hanya berjaya memenangi satu kerusi.

Menurutnya, perkara tersebut wajar dipandang serius oleh parti kerajaan, khususnya PKR.

“Jika mereka memasuki pilihan raya tetapi gagal meraih kemenangan seperti disasarkan, ia boleh memberi kesan negatif terhadap imej parti.

“Situasi itu juga boleh mewujudkan persepsi bahawa status sebagai parti kerajaan tidak semestinya menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

“Apa yang berlaku di Sabah sebelum ini membuktikan bahawa walaupun kerajaan mempunyai pelbagai kelebihan dan insentif, ia tetap tidak menjamin sokongan rakyat atau kemenangan di peti undi,” katanya.

Scroll to Top